SRI AMAN: Pesta Benak Edisi Ke-22 tahun ini tampil lebih meriah dengan hadiah terkumpul sebanyak RM135,560 yang bakal menjadi rebutan peserta regatta.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor, berkata selain hadiah terkumpul yang semakin meningkat, penyertaan saban tahun turut semakin meningkat.
“Saya melihat hadiah wang tunai yang ditawarkan untuk gelaran Raja Sungai pun semakin meningkat di mana kalau dulu sekitar RM10,000 - RM12,000 namun tahun ini dapat kita saksikan sejumlah RM25,000 akan menjadi rebutan untuk gelaran Raja Sungai.
“Saya juga ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada lebih 20 pasukan dari seluruh Sarawak yang telah bertanding untuk merebut gelaran Raja Benak, atau dikenali juga sebagai Raja Sungai Batang Lupar,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis ‘Soft Launching’ Pesta Benak Edisi Ke-22, di Tebingan Sri Aman, di sini pada Jumaat.
Turut hadir, Residen Bahagian Sri Aman Mahra Salleh, Ketua-Ketua Jabatan, Timbalan Residen Bahagian Sri Aman Charlie Keling, Pegawai Daerah Sri Aman Shariff Bujang, Pegawai Daerah Lingga Frank Lani serta tetamu kehormat lain.
Selain penyertaan, Pesta Benak tahun ini turut menyediakan 609 lot gerai kepada usahawan makanan, minuman, perkhidmatan dan banyak lagi.
Menurut Dayang Noorazah, platform perniagaan sempena festival seumpama ini bukan sahaja menarik pengunjung dari luar dan dalam Sri Aman malah meningkatkan ekonomi usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).
Difahamkan majlis perasmian yang akan diadakan pada 20 September ini akan disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg manakala penutupannya pada 21 September akan diserikan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar. -EDISI UKAS