KUCHING: Kerajaan Sarawak menegaskan bahawa tiada pengambilan hak Petroliam Malaysia (PETRONAS) dalam industri gas dan minyak di negeri ini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, PETRONAS kekal sebagai rakan kongsi Sarawak secara keseluruhan dengan jalinan kerjasama kukuh melalui Petroleum Sarawak (PETROS) dalam industri gas dan minyak mengikut undang-undang.
“Apabila saya melakukan bahagian saya dalam industri minyak dan gas, saya juga melihat hak yang kita ada dalam undang-undang kita.
"Kami perlu beroperasi mengikut parameter undang-undang dan PETRONAS memahami perkara ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Pelancaran Kemudahan Pemasangan dan Pengedaran Elektroliser Sarawak (SEA-DF) di Taman Perindustrian Demak Laut di sini pada Khamis.
Premier Sarawak menambah, sinergi antara Perbadanan Kemajuan Ekonomi Sarawak (SEDC) dan Petronas melalui penubuhan bersama fasiliti kilang Kemudahan Pemasangan dan Pengedaran Elektrolizer Sarawak (SEA-DF) juga menunjukkan keberkesanan kerjasama mereka.
Jelasnya, beliau percaya kerjasama ini akan menghasilkan bakat, pengalaman dan kepakaran teknikal daripada kedua-dua pihak memastikan kemajuan yang mampan dalam perniagaan hidrogen.
“Ia juga berfungsi sebagai tempat latihan untuk rakyat Sarawak tempatan, dengan lapan individu kini dilatih untuk menjadi jurutera dalam fasiliti ini," ujarnya lagi.
Pada kemuncak majlis, Datuk Patinggi Abang Zohari itu turut menyaksikan pertukaran beberapa dokumen berkaitan pembangunan tenaga baharu di Sarawak dan Malaysia amnya.
Ia melibatkan memorandum persefahaman (MoU) antara SEDC Energy dan UOB Malaysia untuk menyokong pertumbuhan ekonomi Sarawak yang mampan, MOU antara SEDC Energy dan ILS untuk penyepaduan trak sel bahan api hidrogen SEDC Energy ke dalam operasi logistik ILS, dan perjanjian bekalan antara SEDC Energy dan Hydrexia untuk bekalan hidrogen hijau untuk eksport dan pasaran domestik.
Dokumen lain termasuk surat aku janji untuk membekalkan electrolyser antara Hydrexia, LHSB dan Peric, letter of intent (LOI) untuk potensi kerjasama untuk Solar PV dan teknologi pengeluaran hidrogen antara SEDC Energy, LHSB dan Solarvest, serta semua LOI untuk potensi kerjasama untuk pembangunan keupayaan kimpalan dan latihan industri antara LHSB dan Awisar. -EDISI UKAS