KMKK Perlu Patuhi Garis Panduan Selia Kawasan Masing-Masing

Disiarkan pada 03 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


SIMANGGANG: Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) perlu mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan untuk menyelia kawasan seliaan masing-masing.

Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Francis Harden Hollis berkata, garis panduan seperti mana yang telah ditetapkan perlu dipatuhi di samping menggerakkan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) agar tetap relevan di peringkat kampung masing-masing.

Justeru, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang memberitahu bahawa mesyuarat antara pemimpin di peringkat akar umbi haruslah dilakukan sekurang-kurangnya enam kali setahun untuk memberi maklumat kepada ahli JKKK masing-masing mengenai aktiviti yang bakal dilaksanakan.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Penyerahan Surat Lantikan Semula KMKK di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simanggang pada Selasa.

Dalam majlis tersebut, seramai 38 Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) mendapat surat lanjutan perkhidmatan yang disampaikan oleh Datuk Francis.

Pada kesempatan itu juga, turut disampaikan sijil penghargaan kepada Mantan Pemanca Jegai Jawa yang telah tamat tempoh memegang jawatan Pemanca Kaum Iban di Daerah Sri Aman pada bulan Disember tahun lalu.

Hadir sama Pemanca Lee Siang Hua, Penghulu Tiong Chong Onn, Penghulu Andar Suntai, Penghulu Mingging Sigan, Penghulu Leonard Libau Anol, Penghulu Kang Tai Kong dan Penghulu Empaga Bailey. -EDISI UKAS