KUCHING: Sektor perladangan sawit terus menjadi pemacu utama ekonomi Sarawak apabila nilai eksportnya kini mengatasi eksport petroleum mentah.
Pada tahun 2023 sahaja, industri sawit menyumbang RM14.3 bilion atau 10.9 peratus daripada keseluruhan nilai eksport Sarawak.
Setiausaha Tetap Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datu Sirai Daha berkata pencapaian ini membuktikan sektor sawit bukan sahaja menjadi penyumbang utama kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK), malah turut memperkukuh kedudukan Sarawak sebagai peneraju pengeluaran minyak sawit yang mampan di peringkat global.
“Nilai eksport sawit Sarawak tahun lalu mencecah RM14.3 bilion iaitu 10.9 peratus daripada nilai eksport keseluruhan negeri.
“Malah ia kini mengatasi eksport petroleum mentah yang selama ini mendominasi hasil negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Sarawak Oil Palm Plantation Owners Association (SOPPOA) Government Engagement Forum pada Khamis.
Datu Sirai menambah, kejayaan ini turut disokong oleh usaha berterusan syarikat-syarikat perladangan termasuk Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak (SALCRA) dan pekebun kecil yang bukan sahaja meningkatkan pengeluaran sawit, bahkan membawa pembangunan infrastruktur asas seperti jalan raya, bekalan air, elektrik dan telekomunikasi ke kawasan luar bandar.
Beliau menambah, pencapaian tersebut menjadi pemangkin kepada kerajaan negeri untuk terus memperkukuh kerjasama dengan semua pihak dalam memastikan industri sawit Sarawak kekal berdaya saing di pasaran antarabangsa melalui amalan lestari dan pematuhan piawaian global.
“Kerajaan Sarawak melalui kementerian saya akan terus menyokong usaha sektor ini agar dapat memanfaatkan peluang hiliran, mematuhi piawaian antarabangsa dan mengekalkan sumbangan besar industri sawit kepada ekonomi serta pembangunan Sarawak,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau turut menekankan bahawa industri sawit Sarawak bukan sahaja menjana hasil ekonomi, tetapi juga berperanan penting sebagai pemangkin pembangunan luar bandar.
“Kawasan yang dahulunya terpencil tanpa akses jalan raya, bekalan air, elektrik dan telekomunikasi kini menikmati kemudahan asas hasil kehadiran projek perladangan sawit termasuk yang dilaksanakan oleh SALCRA.
“Industri ini bukan sekadar memberi sumbangan kepada pendapatan negeri, malah menjadi pemacu transformasi luar bandar dan meningkatkan taraf hidup masyarakat setempat,” jelasnya.
Dalam masa yang sama, Datu Sirai berkata industri sawit Sarawak turut berdepan cabaran untuk memenuhi keperluan dan piawaian pasaran antarabangsa seperti Peraturan Deforestasi Kesatuan Eropah (EU).-EDISI UKAS