KUCHING: Kehadiran jenama minuman terkenal dari China, Mixue, secara rasmi membuka lembaran baharu dalam landskap ekonomi dan budaya Kuching apabila cawangan pertamanya di Sarawak dilancarkan pada Khamis.
Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Sri Wee Hong Seng menyifatkan pembukaan Mixue bukan sekadar penambahan kepada pilihan minuman tempatan, tetapi satu peluang penting dalam merancakkan ekonomi setempat dan memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan China.
“Kuching mempunyai kedudukan geografi yang strategik dengan infrastruktur yang lengkap, dan sedang berusaha menjadi hab pelaburan serta logistik serantau.
“Jika Kumpulan Mixue menubuhkan pangkalan rantaian bekalan di sini, ia bukan sahaja dapat mengembangkan pasaran Asia Tenggara dengan lebih berkesan, malah mampu memacu peningkatan industri tempatan,” katanya semasa merasmikan cawangan pertama Mixue di Farley, Kuching.
Dato Sri Wee turut menekankan bahawa hubungan mesra antara Kuching dan Bandaraya Zhengzhou di China perlu terus diperkukuh menerusi pelaburan dan projek kerjasama seperti ini.
“Persahabatan antara Kuching dan Zhengzhou, antara Sarawak dan Henan, akan terus diperkukuh melalui projek-projek sebegini.
“Kita yakin lebih banyak syarikat, bakat dan pertukaran budaya akan berlaku, memberi manfaat dua hala ke arah pembangunan bersama,” tambahnya.
Sementara itu, Konsul Jeneral Republik Rakyat China di Kuching Xing Weiping menyifatkan pembukaan cawangan ini sebagai lambang kerjasama erat dalam kerangka Perkongsian Strategik Menyeluruh China-Malaysia.
“Mixue bukan sahaja membawa ‘minuman yang manis’, malah turut menjadi ‘jambatan emosi’ yang menghubungkan budaya China dan Malaysia,” katanya.
Beliau turut menyatakan bahawa pemilihan Kuching sebagai lokasi pertama Mixue di Malaysia Timur menunjukkan keyakinan syarikat antarabangsa terhadap potensi pasaran Sarawak, sejajar dengan kedudukan Kuching sebagai nod penting dalam Jalur Sutera Maritim sejak dahulu lagi.
Sejak ditubuhkan di Henan pada tahun 1997, Mixue telah melalui lebih 20 tahun usaha gigih dan kini berkembang menjadi sebuah jenama antarabangsa dengan cawangan di pelbagai negara dan wilayah.
Ia telah menjadi satu “simbol kegembiraan” dalam kalangan anak muda di seluruh dunia.
Mixue, yang diasaskan di Henan pada tahun 1997, kini telah berkembang menjadi jenama global dengan kehadiran di pelbagai negara.
Pembukaan di Kuching ini menandakan satu langkah strategik dalam peluasan pasaran Asia Tenggara bagi syarikat tersebut.-EDISI UKAS