PADAWAN: Kem Bio-Geodiversiti Belia Kampung Sadir menjadi wadah penting mendidik generasi muda untuk mencintai alam sekitar, memupuk kepimpinan serta menanam rasa tanggungjawab terhadap kelestarian hutan dan warisan negeri.
Pemangku Pengarah Jabatan Hutan Sarawak, Happysupina Sait, berkata kem tersebut bukan sahaja ruang pembelajaran, malah platform untuk belia berganding bahu dengan komuniti dan agensi dalam membina masa depan yang lebih lestari.
“Kampung Sadir dipilih sebagai lokasi penganjuran kerana terletak dalam kawasan Sarawak Delta Geopark dan merupakan sebahagian daripada Projek Ecological Fiscal Transfer (EFT) yang dilaksanakan oleh JHS,” katanya semasa merasmikan kem tersebut di Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) St. Bernard, Kampung Sadir pada Khamis.
Kem yang melibatkan seramai 30 orang belia dari Kampung Sadir serta pelajar daripada SMK Padawan, SK St. Bernard Sadir dan SK Taba Sait ini mendedahkan peserta kepada pelbagai aktiviti pendidikan, kepimpinan dan kesedaran ekologi.
Program tersebut turut melibatkan penglibatan Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) dan Sarawak Forestry Corporation (SFC).
Menjelas lanjut, Happysupina berkata, Sarawak Delta Geopark bukan sahaja memiliki nilai geologi yang unik, tetapi turut memainkan peranan penting dalam pemuliharaan warisan biologi dan budaya, menyediakan peluang pendidikan dan penyelidikan, serta memacu pembangunan ekonomi komuniti secara lestari.
Beliau juga memaklumkan bahawa pada 5 hingga 6 September 2025, Sarawak Delta Geopark telah diterima secara rasmi sebagai sebahagian daripada UNESCO Global Geopark dalam Mesyuarat Ke-10 UNESCO Global Geopark Council yang berlangsung di Chile.
Menurutnya, pengisytiharan rasmi status ini dijangka dilakukan pada tahun hadapan semasa Asia Pacific Geopark Network Symposium 2027 di Langkawi UNESCO Global Geopark, selepas mendapat perakuan daripada UNESCO Global Geopark Executive Board.
“Pengiktirafan ini amat penting kerana ia membuktikan bahawa nilai geologi, biologi, kebudayaan dan tradisi Sarawak kini diiktiraf di peringkat dunia.
“Justeru, generasi muda perlu bersedia menyahut cabaran untuk menjadi pemimpin perubahan serta penjaga hutan, sungai dan warisan geologi negeri,” tegasnya.
Beliau turut menegaskan bahawa inisiatif ini seiring dengan dasar kerajaan negeri di bawah kepimpinan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg melalui prinsip ‘Pembangunan Hijau Berasaskan Komuniti’, seperti yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.-EDISI UKAS