LUNDU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar Billy Sujang mengadakan lawatan tapak meninjau dua projek pembangunan di bawah Agensi Pelaksana Pembangunan Greater Kuching (GKCDA) di kawasan Opar pada Rabu.
Lawatan yang berlangsung di Kampung Bitokan 2 dan Kampung Opar itu turut disertai oleh wakil-wakil Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) selain melibatkan kerjasama erat dengan JKKK dan FGV Holdings Berhad.
Antara projek yang ditinjau ialah pembinaan baharu Dewan Serbaguna Kampung Bitokan 2 yang dijangka menjadi pusat tumpuan masyarakat setempat untuk pelbagai aktiviti sosial, kebudayaan dan komuniti.
Selain itu, rombongan turut meninjau projek menaiktaraf sistem paip air graviti di Kampung Opar yang dilaksanakan oleh JBALB bersama pihak kampung.
Projek ini bertujuan memastikan penduduk mendapat bekalan air bersih yang lebih cekap dan berterusan, sekali gus meningkatkan kualiti hidup masyarakat luar bandar. -EDISI UKAS