Lawatan Patron Persatuan Orkid Sarawak ke MRSM Kuching Semarakkan Projek JIVOM

Disiarkan pada 18 Sep 2025
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Projek Juma’ani In Vitro Orchid Micropropagation (JIVOM) di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Kuching terus mencuri perhatian apabila Patron Persatuan Orkid Sarawak (Saroso), Dayang Nur Jihan Abang Abdul Rahman Zohari mengadakan lawatan sulungnya ke makmal dan taman mini orkid institusi berkenaan pada Khamis.

Menurut Timbalan Pengetua Pembangunan Bakat MRSM Kuching, McManus Singh, projek JIVOM yang dijalankan dengan kerjasama Persatuan Orkid Sarawak merupakan inisiatif penting dalam memelihara spesies orkid tempatan yang kian pupus dan terancam.

“MRSM Kuching berbesar hati dipilih sebagai perintis projek ini. Apa yang lebih membanggakan, keseluruhan proses pembiakan dan penjagaan dilakukan oleh pelajar sendiri di Makmal Orchid MRSM Kuching,” katanya.

Setakat ini, tiga kumpulan pelajar terlibat dalam projek berkenaan dan mereka dijangka akan mewakili Malaysia ke sebuah program antarabangsa di Jerman pada tahun hadapan untuk membentangkan hasil kajian mereka.

Jelas beliau, lawatan Dayang Nur Jihan hari ini memberi suntikan semangat kepada warga MRSM Kuching khususnya pelajar yang terlibat dalam projek inovasi berasaskan STEM itu.

“Beliau akan melawat Orchid Garden yang menempatkan lebih 80 spesies orkid termasuk beberapa spesies terancam sebelum meninjau Makmal Orchid.

"Lawatan ini diharap membuka lebih banyak peluang untuk memperluas projek inovasi pelajar ke peringkat global,” tambahnya.

Projek JIVOM, yang bermula di MRSM Kuching, kini menjadi satu-satunya makmal di Malaysia menjalankan pembiakan mikro orkid secara sistematik.

Ia selari dengan fokus MRSM untuk membangunkan bakat pelajar secara holistik melalui akademik, kepimpinan, inovasi dan keusahawanan.-EDISI UKAS