Sarawak Perlukan Lebih 11,000 Jawatan Baharu Sokong 7 Hospital Utama

Posted on 17 Sep 2025
Source of News: UKAS


BINTULU: Sarawak kini berdepan kekurangan tenaga kerja kesihatan yang serius dengan kajian mendapati lebih 11,000 jawatan baharu diperlukan bagi menyokong operasi tujuh hospital utama di negeri ini.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian berkata, penilaian pasukan khas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang membuat lawatan pada Julai lalu ke beberapa hospital termasuk Hospital Bintulu, Hospital Umum Sarawak, Hospital Kapit, Hospital Sibu serta Pusat Jantung Sarawak mendapati jumlah kekosongan amat membimbangkan.

“Sebagai contoh, Hospital Bintulu sepatutnya mempunyai 150 jawatan doktor, namun hanya 80 orang berkhidmat pada masa ini.

“Ini bermakna terdapat 70 jawatan kosong, sekali gus menambah beban tugas doktor sedia ada,” katanya ketika mengadakan lawatan ke Hospital Bintulu pada Selasa.

Menurut beliau yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, masalah kekurangan tenaga kerja ini berlarutan sejak 2011 apabila kapasiti katil di Pusat Jantung Sarawak meningkat daripada 30 kepada 160 namun bilangan doktor dan jururawat tidak ditambah.

Katanya, isu berkenaan disedari oleh pihak KKM selepas lawatan tersebut, dan kini memerlukan perancangan bersama antara KKM, Kementerian Kewangan serta Kementerian Ekonomi untuk mendapatkan peruntukan dan sumber tenaga kerja baharu.

Beliau menjelaskan, antara faktor utama doktor enggan berkhidmat di Sarawak adalah ketiadaan kemudahan untuk menampung kos perpindahan khususnya bagi pegawai kontrak, menyebabkan ramai memilih untuk kekal berkhidmat di Semenanjung Malaysia.

“Justeru, Sarawak mahu kuasa pengambilan doktor diberikan terus kepada kerajaan negeri, sama seperti pengambilan guru.

“Selagi kuasa pengambilan ditentukan di Kuala Lumpur, jawatan di Sarawak akan terus tidak terisi,” tegasnya.

Datuk Amar Dr Sim menambah, beban kerja kakitangan kesihatan turut bertambah apabila cuti umum yang diumumkan secara mengejut menjejaskan jadual rawatan di klinik, namun pegawai tidak layak menuntut kerja lebih masa atau cuti gantian.

“Walau apa pun kekangan, saya amat menghargai dedikasi semua petugas kesihatan yang terus berkhidmat dengan penuh komitmen untuk rakyat Sarawak,” ujarnya.

Terdahulu, beliau menyempurnakan penyerahan makanan kepada wakil kakitangan Hospital Bintulu sebelum meninjau Wad Kecemasan dan beramah mesra dengan petugas di situ.

Turut hadir, Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu Johnny Pang Leong Ming serta Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Angellie Stephen Raja. -EDISI UKAS