Utamakan Perpaduan & Keharmonian Rakyat Dalam Bangunkan Sarawak

Disiarkan pada 03 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


SERIAN: Rakyat di negeri ini diseru agar sentiasa mengutamakan perpaduan dan keharmonian dalam kalangan mereka untuk membangunkan negeri ini ke peringkat yang lebih tinggi.

Ahli Parlimen Serian, Dato Sri Richard Riot Jaem memberitahu rakyat seharusnya berpegang kepada prinsip 3R iaitu ‘race’, ‘religion’ dan ‘royal’ sebelum membuat apa-apa tindakan yang boleh memecahkan perpaduan.

“Jika berlaku perpecahan antara kaum, tiada siapa yang akan untung, malah semua rakyat akan rugi. 

"Penggunaan perkataan 3R, iaitu ‘race’, ‘religion’ dan ‘royalty’ merupakan tonggak kepada keharmonian kaum khususnya di Sarawak,” jelas beliau.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Program Berambeh Sungkei Serian Bersama Pemimpin di sini pada Selasa.

Program anjuran Jawatankuasa Tetap Perayaan Islam Pejabat Residen Bahagian Serian dengan kerjasama Lembaga Amanah Kebajikan Islam Serian (LAKIS) dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung  (JKKK) Munggu Limo itu menyaksikan seramai 100 penduduk hadir memeriahkan acara tersebut.

Dalam kesempatan itu, beliau turut menyampaikan sumbangan kepada Jawatankuasa Tetap Perayaan Islam Pejabat Residen Bahagian Serian untuk menjalankan aktiviti pada masa yang akan datang.

Selain itu, seramai 10 orang golongan asnaf turut menerima sumbangan wang tunai daripada pihak LAKIS yang disampaikan oleh Dato' Sri Richard. 

Turut hadir Residen Bahagian Serian Caroline Cleophas Joseph, Pegawai Daerah Serian Inting Nyami, Pengerusi LAKIS Ustaz Mohammad Amin dan Ketua Kampung Munggu Limo Hassan Bero. -EDISI UKAS