MA63: 13 Dari 29 Tuntutan Sarawak Dan Sabah Telah Dilunaskan

Posted on 14 Sep 2025
Source of News: UKAS


BINTULU: Jawatankuasa Teknikal Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) di bawah Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) sedang bekerjasama rapat dengan Kerajaan Persekutuan untuk mengenal pasti hak-hak Sarawak dan Sabah yang telah terhakis atau tidak dipenuhi dan menuntutnya semula mengikut semangat asal perjanjian.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, setakat ini sebanyak 13 dari 29 tuntutan Sarawak dan Sabah telah dilunaskan.

Katanya, antara isu yang diselesaikan adalah pengiktirafan terhadap Jabatan Pengairan dan Jabatan Kerja Raya Sarawak, pengiktirafan terhadap Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) sebagai jabatan teknikal, penyertaan wakil negeri dalam Lembaga Hasil Dalam Negeri, kawalan lebih meluas dalam pengagihan gas dan kawal selia elektrik serta pengembalian semula Pelabuhan Bintulu.

“Ia (tuntutan) amat kompleks, namun penting dan berterusan di bawah kepimpinan Perdana Menteri Dato Seri Anwar Ibrahim yang menegaskan komitmennya untuk menyelesaikan isu ini secara adil dan melalui kerangka kerja yang betul.

“Ia adalah pengiktirafan perlembagaan yang mengesahkan tuntutan dan mengukuhkan kedudukan kita,” katanya semasa berucap pada Majlis Kesyukuran Agama-Agama Lain sempena sambutan perayaan Hari Malaysia Peringkat Sarawak Tahun 2025 di salah sebuah hotel di sini pada Ahad.

Teks ucapannya dibaca oleh Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Tambah beliau, kejayaan lain termasuk pelaksanaan Peperiksaan Tahun 6 untuk subjek teras seperti English, Sains dan Matematik.

Ia termasuk meneruskan penggunaan bahasa Inggeris dalam subjek Sains dan Matematik untuk Program Dwibahasa, katanya lagi.

Menyentuh perkara lain, beliau berkata kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) terus menunjukkan kepimpinan yang kukuh dan visi jelas untuk masa depan Sarawak.

“Kerajaan GPS secara konsisten melaksanakan dasar yang proaktif dan strategik khususnya di bawah Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS 2030) untuk mempelbagaikan ekonomi dan meningkatkan pendapatan negeri, meletakkan asas untuk Sarawak yang lebih makmur, inklusif dan mampan.

“Transformasi ekonomi ini sedang berlaku menerusi beberapa sektor utama, antaranya ekonomi hijau, tenaga boleh diperbaharui, teknologi digital dan industri bernilai tinggi,” tegasnya lagi.

Hadir sama Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah merangkap Menteri Bertanggungjawab Sambutan Perayaan Hari Malaysia Peringkat Sarawak Tahun 2025 Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Menteri di Jabatan Premier Sarawak Dato Sri John Sikie Tayai, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia Dato Sri Tiong King Sing, Timbalan-timbalan Menteri, ketua-ketua jabatan, wakil ketua-ketua agama serta tetamu kehormat yang lain. - EDISI UKAS