Miri Kekal Rekod Cemerlang, 8,424 Pendaftaran Derma Darah dalam Lapan Bulan

Posted on 14 Sep 2025
Source of News: UKAS


MIRI: Miri terus mengekalkan rekod cemerlang sebagai bandar yang bebas krisis kekurangan darah apabila Pusat Darah Hospital Miri merekodkan 8,424 pendaftaran dengan 6,633 daripadanya berjaya menderma darah dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini.

Perkara itu didedahkan oleh Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Presiden Persatuan Hakka Miri, Dato Sri Lee Kim Shin ketika merasmikan Kempen Derma Darah 2025 anjuran Persatuan Hakka Miri Youth Section di Pusat Membeli-belah Boulevard, pada Ahad.

“Data ini menunjukkan sambutan positif masyarakat terhadap pendermaan darah, dan saya yakin jumlah penyertaan akan terus meningkat sehingga melepasi 10,000 orang pada tahun ini,” katanya.

Angka tersebut termasuk 1,103 penderma baharu, manakala 1,865 penderma ditangguhkan atas sebab kesihatan.

Bulan Februari mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 953 penderma, diikuti Julai (913), Mei (892) dan Mac (819).

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Persatuan Hakka Miri Youth Section yang secara konsisten menganjurkan kempen derma darah sejak tahun 2008, menjadikan penganjuran kali ini edisi ke-17.

“Darah adalah sumber yang tidak ternilai, penting untuk rawatan kecemasan, pembedahan dan pesakit kronik.”

“Setiap beg darah adalah satu harapan. Pendermaan darah bukan sahaja amalan mulia, tetapi juga tanggungjawab bersama,” tegasnya.

Pada masa sama, beliau menggalakkan lebih ramai belia khususnya yang berusia 18 tahun ke atas untuk tampil menderma, memandangkan mereka yang berusia 60 tahun ke atas perlu melalui penilaian kesihatan terlebih dahulu.

Kempen kali ini mencatatkan 103 pendaftaran dengan 88 penderma berjaya menderma darah.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Datuk Bandar Bandaraya Miri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut,Adam Yii Siew Sang, Ketua Pemuda Persatuan Hakka Miri, Andy Jong Wan Joon serta Pengerusi Pengelola, Chong Fuong Liang.-EDISI UKAS