BAU: Sebuah Taman Sahabat dicadang dibina di Daerah Bau sebagai mercu tanda sejarah kedatangan pelombong emas dari China pada 204 tahun lalu.
Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Sungai dan Laut), Dato Henry Harry Jinep berkata, mengikut sejarah lama, kedatangan orang China ke Sarawak dikatakan untuk melombong emas kebanyakannya orang Hakka yang mana kini masih mendiami di kawasan Bau.
"Pada masa sama, kami mahu orang China membina Taman Sahabat yang serupa dengan yang ada di Kuching untuk dijadikan sebagai mercu tanda sejarah kedatangan pelombong dari China datang ke sini pada 204 tahun lalu.
"Signifikan kedatangan pelombong Cina ke Sarawak melalui Bau bagi melakukan aktiviti perlombongan pada waktu itu telah mewujudkan kaum yang berbilang terdiri dari Cina, Melayu dan Bidayuh,” jelas beliau.
Beliau berkata demikian ketika hadir menyempurnakan majlis pelancaran buku baru yang ditulis oleh K.C Jong bertajuk ’The Bau Miners Uprising In 1857’ bertempat di Kompleks Pejabat Daerah Bau pada Rabu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru itu menambah, sempena ulang tahun ke-55 hubungan diplomatik antara Malaysia dan China, beliau ingin menjemput rakyat China mewujudkan sebuah Taman Sahabat di Bau.
Menjelas lanjut perkara tersebut, beliau memberitahu bahawa perancangan untuk mengadakan perkampungan Hakka di Bau sudah dilakukan.
Turut hadir Pegawai Daerah Bau Constantine Gerald David Jonas, Presiden Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) merangkap Pegawai Tadbir Khas Agensi Penyelarasan Pembangunan Greater Kuching (GKCDA) Datu Ik Pahon Joyik, Setiausaha Majlis Daerah Bau Ong Chin Ping, Pemanca Masyarakat Cina Daerah Bau Bong Jong Long, Penghulu Kawasan Paku Lai Shey Hiong dan Penghulu Liew Chiew Hian. -EDISI UKAS