BINTULU: Bahang kehangatan Kejohanan Muaythai Piala Premier Sarawak 2025 kian terasa dengan 300 petarung terbaik dari tujuh negara bakal menggegarkan pentas Naim Street Mall@ Paragon Bintulu dari 18 hingga 21 September ini.
Setakat ini, negara-negara yang mengesahkan penyertaan adalah Brunei Darussalam, Indonesia, Thailand, Yemen, Vietnam, Iran dan beberapa negeri dari Malaysia termasuk Sarawak.
Memasuki edisi ke-9 penganjurannya, kejohanan berprestij itu terus menarik minat petarung-petarung terbaik untuk memperagakan kejaguhan mereka memburu kejuaraan.
Antara pertarungan yang bakal mencuri tumpuan membabitkan peserta negara, Nur Aiman menentang Amir Hossen dari Iran untuk merebut tali pinggang kejuaraan dalam kategori 63kg.
Satu lagi pertarungan merebut tali pinggang kejuaraan melibatkan atlet kelahiran Bintulu, Aiman Koboi (Kelab PS Muaythai) menentang Razie Rafizzie mewakili Kelab Muaythai Kenyalang bagi kategori 53kg.
Turut dijangka menarik pertembungan 55kg mempertaruhkan pertarung Yemen, Zahran yang akan beradu tenaga dengan Dang Quc Quang dari Vietnam.
Selain itu, beberapa perlawanan lain dalam pelbagai kategori seperti Muaysport, semi pro, pro dan berpasukan turut dijangka menarik perhatian dengan anggaran keseluruhan 155 bout akan berlangsung sepanjang empat hari kejohanan.
Terdahulu akan diadakan sesi pengenalan para peserta dan persembahan seni bela diri pada malam 18 September.
Manakala 19 September dan 20 September nanti akan berlangsung perlawanan Muaysport pada sebelah pagi hingga petang, disusuli pertarungan Semi Pro dan Superfight Pro pada sebelah malam.
Menghangatkan lagi pentas kejohanan pada malam 20 September nanti dengan pertarungan gusti khas (tag team) mempertemukan gandingan Retis Dougle K-Badboy Hendro menentang Alfa “Alpha Nazri” & The New Hero.
Perasmian kejohanan juga akan dilangsungkan pada malam tersebut.
Ia diteruskan dengan sambungan perlawanan Muaysport & Semi Pro pada 21 September.
Kejohanan Muaythai Piala Premier Sarawak 2025 dianjurkan oleh Persatuan Muaythai Negeri Sarawak (PMNS) dengan kerjasama Naim Street Mall@ Paragon Bintulu.
Ia turut mendapat kerjasama Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP), Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (MYSED), Perbadanan Sukan Sarawak (SSC), Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) dan barisan penaja lain.
Menambah lagi kerancakan edisi kali ini dengan pengenalan kategori baharu iaitu berpasukan 3 vs 3 atau 5 vs 5 bagi merebut Piala Interclub Borneo.
Menurut penganjur, penentuan bagi perebutan Piala Premier Sarawakakan diputuskan berdasarkan kiraan mata diperolehi oleh setiap pasukan bertanding.
Selain itu, beberapa pengisian lain turut diadakan bagi memeriahkan kejohanan kali ini antaranya pertandingan ‘push bike’, e-sports, pertandingan dart serta karnival jualan.
Orang ramai khususnya warga Bintulu diseru untuk turun beramai-ramai memeriahkan pentas kejohanan kali ini dengan kemasukan adalah percuma. - EDISI UKAS