Kompleks Perumahan PDRM Tabuan Jaya Dinaik Taraf, Kawasan Strategik Projek Pembangunan Di Samarahan

Disiarkan pada 13 Sep 2025
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Kompleks Perumahan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) Tabuan Jaya perlu dinaik taraf memandangkan lokasi strategik di laluan projek-projek pembangunan yang dilaksanakan oleh Kerajaan Sarawak di Kota Samarahan.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, Kerajaan Sarawak akan terus membantu menaik taraf fasiliti PDRM berdasarkan keperluan yang dikehendaki.

"Dengan peningkatan projek pembangunan di Samarahan ini khususnya pembesaran jalan raya, pemasangan lampu isyarat digital dan pembinaan jalan laluan Transit Aliran Autonomi (ART) saya katakan kepada Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato Mancha Ata bahawa Kompleks Polis Tabuan adalah lokasi yang strategik dalam laluan tersebut.

"Maka wajarlah kawasan ini dinaik tarafkan tetapi Dato Mancha memaklumkan tiada peruntukan maka saya katakan, jika ada hasrat untuk menaik taraf, maka kerajaan negeri akan memberi bantuan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian Kerja-Kerja Mengecat Kompleks Perumahan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) Tabuan Jaya dan Penyerahan Kenderaan Pacuan Empat Roda Kepada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) IPK Sarawak di komplek tersebut pada Sabtu.

Premier Sarawak menambah, sumbangan sebanyak RM5 juta daripada Kerajaan Sarawak telah digunakan bagi kerja-kerja mengecat bangunan Kompleks Perumahan PDRM Tabuan Jaya di samping menyerahkan empat buah kenderaan pacuan empat roda kepada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik IPK Sarawak.

Beliau juga mengumumkan untuk memberikan tambahan peruntukan baharu bagi mencantikkan bungalow pegawai-pegawai polis bagi meningkatkan lagi imej kompleks tersebut.

Dalam pada itu ketika ditemui pemberita, Datuk Patinggi Abang Zohari memberitahu, pihaknya juga telah mencadangkan kepada Dato Mancha, serta pegawai atasan PDRM dan Menteri Dalam Negeri Datuk Saifuddin Nasution Ismail untuk meningkatkan stesen-stesen polis di Sarawak.

Hadir sama, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Dato Sri Fatimah Abdullah, Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Hussein Omar Khan, Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato Mancha Ata, Pengarah Unit Keselamatan Dan Penguatkuasaan Abdul Wahab Rahim serta dif kenamaan lain. -EDISI UKAS