Kehadiran Yang di-Pertua Negeri Sarawak Di Old Rex Corner Tarik Perhatian Rakyat

Posted on 13 Sep 2025
Source of News: UKAS


KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi berkenan meluangkan masa bersarapan di Old Rex Corner, di sini, pada Sabtu.

Hadir sama anakanda Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi iaitu Sharifah Fariah dan Sharifah Nong-Jasima serta suami, Hakeem.

Kehadiran beliau menarik perhatian orang ramai yang turut mengambil peluang bersalaman serta merakam gambar kenangan.

Menurut pemilik Old Rex Corner, Sim Kian Hock, kedai kopi keluarganya itu telah beroperasi sejak tahun 1967 dan sering menjadi pilihan Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi untuk bersarapan sejak sebelum dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak.

“Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi sentiasa datang ke kedai kami, hampir setiap bulan atau dua bulan sekali.

“Beliau memang mesra dengan semua orang, sampai sahaja, beliau akan bersalaman dengan pelanggan dan sering membelanja orang ramai yang ada di kedai.

“Beliau tidak pernah meminta layanan istimewa, sebaliknya makan dan minum seperti pelanggan biasa,” katanya ketika ditemui.

Old Rex Corner bermula daripada kedai kopi kecil di sekitar panggung wayang Rex suatu ketika dahulu.

Selepas itu, mereka berpindah ke Rubber Road selama 17 tahun sebelum beroperasi di premis baharu di Jalan Nanas sejak lebih empat tahun lalu.

Kedai kopi itu masih mengekalkan menu tradisi seperti mee kolok, laksa Sarawak, mee Jawa dan cucur udang yang terus menjadi pilihan pelanggan termasuk Yang di-Pertua Negeri Sarawak sendiri.-EDISI UKAS

Kredit foto: Astana Negeri Sarawak