MIRI: Penghuni penjara yang bertekad mahu berubah wajar diberi peluang kedua untuk membina kehidupan lebih baik selepas menjalani hukuman, kata Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan II, Datuk Dr. Ripin Lamat.
Beliau berkata masyarakat juga harus bersedia menerima serta menyokong bekas penghuni penjara sebagai sebahagian daripada proses pemulihan dan reintegrasi sosial.
“Usaha sebegini diyakini dapat membantu penghuni membina keyakinan serta kesiapsiagaan menghadapi kehidupan selepas pembebasan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan majlis penutupan Program Outreach Korektif: Daripada Kesilapan Ke Kejayaan – Perjalanan Pemulihan di Dewan Serbaguna Penjara Pusat Miri, baru-baru ini.
Program itu melibatkan seramai 14 penghuni bersama 30 ahli keluarga dengan tujuan memperkukuh proses pemulihan melalui sokongan keluarga serta kerjasama pelbagai agensi luar.
“Peluang kedua penting untuk mereka yang benar-benar ingin berubah.
“Masyarakat juga perlu menerima dan menyokong bekas penghuni penjara sebagai sebahagian daripada proses pemulihan dan reintegrasi sosial,” katanya.
Menurut Dr. Ripin, inisiatif ini mampu membina keyakinan diri penghuni serta meningkatkan kesiapsiagaan mereka untuk menghadapi kehidupan selepas pembebasan.
Program yang disertai 14 penghuni bersama 30 ahli keluarga itu turut mendapat kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Selain sokongan keluarga, Penjara Pusat Miri turut menghargai majikan yang menyediakan peluang pekerjaan kepada penghuni melalui Program Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL), sekali gus mengukuhkan proses pemulihan mereka. — EDISI UKAS