SUSK TYT Sarawak Terima Kunjungan Hormat Pengarah UKAS

Posted on 12 Sep 2025
Source of News: UKAS


KUCHING: Setiausaha Sulit Kanan (SUSK) kepada Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Dato' Sri Syed Hamzah Syed Paie menerima kunjungan daripada Pengarah Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) Awang Putrayusrie Awang Redzuan bersama rombongan di Bilik Mesyuarat Astana Negeri Sarawak di sini hari ini.

Kunjungan tersebut bertujuan untuk memperkukuh hubungan kerjasama strategik antara Pejabat Astana Negeri Sarawak dengan UKAS khususnya dalam aspek penyampaian maklumat rasmi serta liputan program melibatkan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Dalam pertemuan itu, Dato' Sri Syed Haji Hamzah merakamkan penghargaan atas usaha UKAS yang sentiasa memberikan sokongan padu dalam penyebaran berita serta liputan aktiviti melibatkan Yang di-Pertua Negeri Sarawak.

Beliau turut menzahirkan harapan agar kerjasama erat ini dapat diteruskan bagi memastikan setiap program yang melibatkan Yang di-Pertua Negeri Sarawak mendapat liputan yang menyeluruh dan berkesan.

Sementara itu, Awang Putrayusrie turut memberi taklimat ringkas mengenai peranan UKAS sebagai agensi rasmi penyampaian maklumat kerajaan Sarawak, termasuk pelbagai inisiatif dalam memperkasakan komunikasi digital dan liputan media massa.

Turut hadir dalam kunjungan tersebut ialah Setiausaha Usaha Sulit kepada Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Junih Salleh Ahmad, Setiausaha Akhbar Kanan kepada Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Samuel Simon, Timbalan Pengarah UKAS, Mohamed Faizal Shah Ali serta pegawai-pegawai kanan UKAS dan pejabat Astana Negeri Sarawak. -EDISI UKAS