Pesta Besaug, Perasmian CENTEXS Dalat pada 31 Oktober depan

Disiarkan pada 11 Sep 2025
Sumber Berita: UKAS


DALAT: Dua acara besar bakal menghiasi daerah Dalat pada 31 Oktober 2025 apabila Pesta Besaug Dalat Edisi Ke-8 dan Majlis Perasmian Kampus Baharu Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) Dalat berlangsung serentak.

Bagi memastikan kelancaran penganjuran, satu mesyuarat telah diadakan pada Khamis di Bilik Mesyuarat Kompleks Kebajikan Dalat yang dipengerusikan oleh Menteri Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat, Dato Sri Fatimah Abdullah.

Selain bermesyuarat, Dato Sri Fatimah turut mengadakan lawatan ke CENTEXS Dalat.

Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif CENTEXS Sarawak Dato Syed Mohd Hussien Wan Abdul Rahman dan Timbalan Residen Bahagian Mukah Shafrie Saili.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg dijadual hadir bagi merasmikan Pesta Besaug Dalat yang bertemakan “Jeulo Jenaseng” atau “Sehati Sejiwa” pada 31 Oktober, jam 3 petang di Waterfront Dalat.

Pesta ini akan berlangsung sehingga 2 November 2025 dengan pengisian acara menarik termasuk pertandingan bot laju dan perahu bidar yang sentiasa menjadi tumpuan pengunjung.

Pada hari yang sama, Premier Sarawak turut akan merasmikan Kampus Baharu CENTEXS Dalat yang diwujudkan bagi memperkukuh pembangunan modal insan, menyediakan pelbagai program latihan kemahiran teknikal serta membuka peluang pendidikan kepada masyarakat sekitar Dalat, Matu, Daro, Sibu dan Kapit.

CENTEXS Dalat menawarkan 14 program latihan merangkumi pelbagai bidang termasuk Certificate in Training for Elderly Caregivers (TREC), Certificate in Basic Commercial Cookery (Endorsement in Basic Sarawak Heritage Cookery), Professional Certificate in Fashion Technology (Basic), Welding Technology (3G Plus), Wireman Plus, Foundation Certificate dan lain-lain.

Dengan penganjuran Pesta Besaug dan penubuhan Kampus Baharu CENTEXS Dalat, ia sekali gus mencerminkan komitmen kerajaan Sarawak dalam memperkasakan budaya tempatan serta melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi demi kesejahteraan rakyat.-EDISI UKAS