SIBU: Sambutan Maulidur Rasul 1447H/2025M Peringkat Bahagian Sibu baru-baru ini menyaksikan penyertaan lebih ramai masyarakat bukan Islam, sekali gus mencerminkan semangat perpaduan di bandar ini.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Dr Annuar Rapa’ee berkata, penglibatan masyarakat berbilang agama dalam perarakan berkenaan sesuatu yang amat menggembirakan.
“Alhamdulillah, saya nampak lebih ramai masyarakat bukan Islam turut serta dalam perarakan Maulidur Rasul kali ini.
“Ini menunjukkan perpaduan yang amat baik dalam kalangan penduduk berbilang agama di bandar Sibu,” katanya ketika ditemui media pada majlis itu di Dataran Tun Tuanku Bujang.
Bertemakan ‘Ummah Maju Makmur,’ majlis yang berpusat di Dataran Tun Tuanku Bujang itu bermula seawal jam 6.30 pagi melibatkan seramai 71 kontinjen dengan lebih 6,000 peserta.
Datuk Dr Annuar turut menyatakan rasa syukur kerana cuaca yang baik membolehkan program berjalan lancar, selain menghargai kerjasama Pejabat Residen dan agensi kerajaan terutama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang mengatur perarakan dengan teratur.
Beliau optimis jumlah penyertaan akan terus meningkat pada penganjuran yang akan datang.
Acara kemuncak sambutan ialah perarakan sejauh 3.2 kilometer yang bermula dan berakhir di Dataran Tun Tuanku Bujang, melalui Jalan Bujang Suntong, Jalan Pulau, Jalan Tukang Besi, Jalan Central dan Jalan Kampung Nyabor.
Perarakan diketuai oleh Datuk Dr Annuar dan disertai oleh Residen Bahagian Sibu Abang Mohamad Porkan Abang Budiman, Temenggung Dato Sri Wan Hamid Edruce Tuanku Mohamad, Temenggung Stanley Geramong Bandar serta kenamaan lain.
Bagi memeriahkan sambutan, pelbagai pertandingan telah diadakan, termasuk pertandingan sepanduk, perarakan, kontinjen teramai dan Pesona Busana.
Sementara itu, bagi pertandingan kontinjen, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Methodist Sibu muncul johan Kategori A, Naib Johan dimenangi SMK Sungai Merah manakala tempat ketiga disandang SMK Bukit Assek.
Dalam Kategori B (Sekolah Rendah), Sekolah Kebangsaan (SK) Agama MIS Sibu dinobatkan johan, diikuti SK Jalan Deshon (naib johan) dan SK Abang Ali (ketiga).
Kategori C yang melibatkan pasukan beruniform menyaksikan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengungguli tempat pertama, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia di tempat kedua serta Jabatan Kastam Diraja Malaysia di tempat ketiga.
Jabatan Kesihatan Bahagian Sibu pula menguasai Kategori D (Jabatan/Agensi Kerajaan/Badan Berkanun), manakala Jabatan Tanah dan Survei menduduki tempat kedua dan Pentadbiran Bahagian Sibu ketiga.
Dalam Kategori E (Masjid/Surau), Masjid An-Nur meraih johan, Masjid Darul Halim Teku naib johan dan Surau Darul Yassin di tempat ketiga.
Bagi Kategori F (Persatuan/Kelab/Pertubuhan), Persatuan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) muncul juara, Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) Daerah Sibu di tempat kedua dan Persatuan Seni Silat Helang Harimau Sibu ketiga.
Kategori terakhir iaitu Kategori G (Firma Swasta/Syarikat/Institusi Kewangan) menyaksikan Kumpulan Sanyan mengungguli tempat pertama, diikuti PERYATIM Sibu (naib johan) dan Lembaga Tabung Haji (ketiga).
Manakala Pertandingan Sepanduk pula, UTS dinobatkan Johan Kategori A (Institut Pengajian Tinggi/Sekolah Menengah), manakala SK Abang Ali muncul juara Kategori B (Sekolah Rendah). Dalam Kategori G (Firma Swasta/Syarikat/Institusi Kewangan) pula, Kumpulan Sanyan meraih gelaran Johan.
Antara pemenang lain ialah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kategori C), Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Sibu (Kategori D), Masjid Darul Halim, Teku (Kategori E) dan PERKIM Cawangan Sibu (Kategori F).
Kategori Kontinjen Teramai ketika perarakan dimenangi oleh SK Abang Ali, Naib Johan dimenangi oleh SK Agama MIS Sibu, manakala tempat ketiga disandang oleh Jabatan Kesihatan Bahagian Sibu.
Bagi kategori Keseluruhan Terbaik, SK Agama MIS Sibu dinobatkan sebagai Johan, diikuti Kumpulan Sanyan selaku Naib Johan, dan tempat ketiga dimenangi oleh SK Abang Ali.
Pertandingan ini dianjurkan sebagai sebahagian sambutan Maulidur Rasul bagi memperkukuh semangat perpaduan dan kecintaan kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW.
Majlis penuh warna-warni itu bukan sahaja memeriahkan sambutan Maulidur Rasul di Sibu, malah memperlihatkan semangat kebersamaan pelbagai lapisan masyarakat dalam memperingati kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad SAW.-EDISI UKAS