Monumen Pembebasan Sarawak daripada Pendudukan Jepun Perang Dunia Kedua Dirasmikan Di Pending Point

Posted on 11 Sep 2025
Source of News: UKAS


KUCHING: Monumen Pembebasan Sarawak daripada Pendudukan Jepun Semasa Perang Dunia Kedua atau “World War II Sarawak Liberation from Japanese Occupation” kini berdiri megah di Pending Point, Kuching.

Menurut Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr. Sim Kui Hian, monumen itu dibina bersempena ulang tahun ke-80 pembebasan Sarawak daripada pendudukan Jepun pada 11 September 1945, di lokasi bersejarah yang menyaksikan penyerahan rasmi tentera Jepun kepada Brigedier-Jeneral Thomas Eastick daripada Tentera Australia.

Beliau berkata, monumen tersebut melambangkan penghargaan kepada tentera bersekutu dari Australia, Britain, New Zealand, Kanada serta pejuang tempatan dan rakyat Sarawak yang menanggung penderitaan sepanjang lebih tiga tahun pendudukan Jepun.

“Monumen ini adalah janji bahawa pengorbanan mereka tidak akan dilupakan.

“Ia juga menjadi peringatan bahawa keamanan dan kebebasan yang kita nikmati hari ini perlu dipertahankan dan diwariskan kepada generasi akan datang,” katanya semasa berucap dalam majlis perasmian monumen berkenaan pada Khamis.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) dan Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP) kerana merealisasikan pembangunan monumen ini yang bukan sahaja memelihara sejarah, malah berfungsi sebagai pusat pendidikan warisan serta tarikan pelancongan.

Datuk Amar Profesor Dr. Sim menegaskan, monumen ini akan terus mengingatkan masyarakat bahawa keamanan, kebebasan dan keselamatan tidak datang dengan mudah, sebaliknya menuntut keberanian, kebijaksanaan dan perpaduan untuk dipelihara.

Turut hadir semasa majlis ini ialah Menteri MTCP Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Timbalan Menteri MTCP Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) Dato Wee Hong Seng, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu Azizul Annuar Adenan, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) Datu Hii Chang Kee dan dif-dif kenamaan yang lain.-EDISI UKAS