Teknologi Digital Teras Transformasi Guru

Disiarkan pada 11 Sep 2025
Sumber Berita: UKAS


BINTANGOR: Pendidikan abad ke-21 menuntut transformasi yang bukan sahaja menyentuh aspek pedagogi, tetapi turut menekankan penguasaan teknologi digital.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong Datuk Ding Kuong Hiing berkata, transformasi pendidikan masa kini menuntut lebih daripada sekadar penguasaan ilmu dengan mengambil kira kepentingan inovasi dan pendigitalan dalam memperkasakan sektor pendidikan negara.

“Transformasi pendidikan masa kini menuntut lebih daripada sekadar penguasaan ilmu.

"Guru dan pendidik perlu mahir memanfaatkan teknologi digital untuk memperkayakan pengalaman pembelajaran murid,” ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Perasmian Penangguhan Persidangan Kebangsaan Pedagogi dan Pendidikan Guru (PedaTEd) 2025 Zon Sarawak di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Rajang, pada Rabu.

Menyentuh mengenai program, Datuk Ding menyifatkan PedaTEd 2025 bukan sekadar persidangan akademik, malah menjadi medan bertemunya para pendidik, penyelidik dan pelajar dari seluruh negara untuk memperkasa amalan pengajaran dan pembelajaran melalui inovasi serta kolaborasi antara institusi.

Persidangan kali ini mendapat sambutan luar biasa dengan penyertaan melibatkan warga Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM), institusi pengajian tinggi awam dan swasta (IPTA/IPTS), serta pegawai Kementerian Pendidikan Malaysia, mencerminkan komitmen padu dalam memperkasa ekosistem pendidikan negara.

Sehubungan itu, beliau menekankan bahawa bidang penyelidikan, inovasi dan teknologi digital perlu diberi penekanan agar pendidikan negara kekal relevan, dinamik dan kompetitif di peringkat global.

Menurutnnya, wacana seperti ini adalah peluang keemasan untuk para pendidik bertukar pandangan, menjalin jaringan kerjasama dan memacu pemikiran kreatif ke arah pendidikan yang lebih progresif dan inklusif.

Hadir sama, Pengarah Institut Pendidikan Guru Kampus Rajang Dr Zainal Abiddin Masleh, Pengarah IPG Kampus Tun Abdul Razak Yahya Sedik, Pengarah Institut Pendidkan Guru Kampus Sarawak (IPGKS) Miri Dr Noraini Omar dan Timbalan Pengarah Institut Pendidikan Guru Kampus Rajang Dr Cindy Wong Chee Chien. -EDISI UKAS