SIBU: Cabaran kesihatan awam di Sarawak kini beralih daripada penyakit berjangkit seperti tuberkulosis (TB), denggi dan HIV kepada penyakit tidak berjangkit (NCD) termasuk kanser serta kemalangan jalan raya yang menjadi punca utama kematian.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar (Prof) Dr. Sim Kui Hian berkata usaha menangani cabaran ini memerlukan kerjasama merentas sektor termasuk kesihatan, kejuruteraan, penguatkuasaan dan pendidikan agar pendekatan yang lebih menyeluruh dapat dilaksanakan.
Beliau turut menekankan pentingnya melahirkan generasi muda yang bukan sahaja cemerlang di peringkat antarabangsa, tetapi tetap berpegang pada identiti Sarawak.
“Kita mahu anak muda bersaing di luar negara tetapi tidak melupakan akar budaya. Semua orang boleh memainkan peranan masing-masing dalam membina bangsa Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Perasmian 1st Borneo Health Summit & 41st Sarawak Health Conference, di Kingwood Hotel Sibu pada Rabu.
Datuk Amar Dr. Sim yang berpengalaman dalam bidang klinikal, profesional hingga pembuat dasar turut menyeru agar lebih ramai golongan berpendidikan melibatkan diri dalam politik.
Tegasnya, politik ialah harga yang perlu dibayar demi memperjuangkan rakyat.
Beliau menambah, Persidangan Kesihatan Sarawak yang kini memasuki edisi ke-41 membuktikan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam membangunkan sistem kesihatan mampan, sekali gus menyokong agenda Sarawak menuju negeri maju menjelang 2030.-EDISI UKAS