Sarawak Delta Geopark Lulus Saringan Awal UNESCO Global Geopark

Posted on 10 Sep 2025
Source of News: UKAS


KUCHING: Sarawak Delta Geopark lulus saringan awal apabila berjaya mendapatkan status kad hijau atau Green Card (ACCEPTED) daripada Mesyuarat ke-10 UNESCO Global Geoparks Council yang berlangsung baru-baru ini di Temuco, Chile.

Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh, berkata keputusan itu merupakan satu pencapaian besar bukan sahaja bagi Sarawak, malah untuk Malaysia keseluruhannya.

“Dalam mesyuarat majlis tersebut, mereka telah membuat keputusan atau menerima permohonan kita bagi Sarawak Delta Geopark, tempat anda berada sekarang, untuk diterima sebagai ‘inspired UNESCO Global Geopark’.

“Bersama-sama dengan satu lagi di Semenanjung Malaysia, iaitu Lenggong, ini bermakna kita mempunyai dua calon yang telah berjaya melepasi saringan pertama,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Persidangan Sains dan Teknologi Alam Semula Jadi Kali Ke-2 (NaSTeC 2025), di sebuah hotel di sini, pada Rabu.

Menurut beliau, kedua-dua geopark berkenaan akan dibawa untuk pengesahan di Mesyuarat Lembaga Eksekutif UNESCO Global Geopark yang dijadualkan berlangsung di Paris pada Mei tahun depan.

Datuk Len Talif memaklumkan bahawa sebanyak sembilan geopark baharu diluluskan dalam mesyuarat kali ini, manakala 61 geopark secara keseluruhan dibincangkan.

“Ini adalah berita baik untuk Sarawak dan Malaysia.

“Tahniah kepada Sarawak, tahniah kepada Malaysia,” katanya lagi.

Beliau menyifatkan kejayaan itu sebagai pengiktirafan antarabangsa terhadap usaha pemuliharaan alam semula jadi serta pembangunan mampan wilayah ini. -EDISI UKAS