Premier Sarawak Terima Kunjungan Hormat Daripada AZAM & SUHA

Disiarkan pada 03 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg menerima dua kunjungan hormat di Wisma Bapa Malaysia di sini pada Rabu. 

Kunjungan pertama adalah daripada Angkatan Zaman Mansang Sarawak (AZAM) bagi membincangkan hala tuju dan langkah-langkah baharu untuk mereka melaksanakan projek-projek pada masa akan datang. 

Sementara itu, Pengerusi AZAM, Datu William Patrick Nyigor berkata, pihaknya menyambut baik cadangan yang disampaikan oleh Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari terutamanya dalam aspek pembangunan projek di masa hadapan.

"Kami telah berjumpa dengan Premier Sarawak dua tahun lepas dan kunjungan ini juga bagi memberi perkembangan semasa mengenai aktiviti-aktiviti yang telah dilaksanakan. 

“Beliau juga memberi beberapa cadangan yang bernas untuk kami menukar arah dan langkah untuk projek-projek yang akan dilaksanakan pada masa depan,” katanya.

Sejurus selepas itu, Premier Sarawak menerima kunjungan hormat daripada Pertubuhan Agensi Umrah & Haji Sarawak (SUHA) yang diketuai Pengerusinya, Ruzaiman Ghazalee. 

Ketika ditemui selepas kunjungan, Ruzaiman berkata, antara perkara yang disampaikan adalah isu-isu semasa berkaitan umrah dan haji di Sarawak.

Katanya, dengan pelan Sarawak untuk membangunkan industri penerbangan dapat menyediakan penerbangan dari Kuching terus Jeddah, Mekah.

“Memang hasrat SUHA dan bakal-bakal jemaah daripada Sarawak untuk mendapatkan penerbangan terus dari Kuching ke Jeddah dan perkara ini masih diusahakan. 

"Kita berharap satu hari nanti perkara ini dapat direalisasikan supaya dapat memudahkan jemaah di negeri ini,” ujarnya.-EDISI UKAS