547 Penduduk Limbang Terima Sumbangan Aidilfitiri

Posted on 03 Apr 2024
Source of News: UKAS


LIMBANG: Seramai 547 orang penerima terdiri daripada pegawai-pegawai masjid dan surau, ibu tunggal, Orang Kurang Upaya (OKU) serta anak-anak yatim di Bahagian Limbang menerima sumbangan Aidilfitri daripada Lembaga Amanah Kebajikan Islam Limbang (LAKIL), Baitulmal dan Persatuan Melayu Limbang.

Penyerahan keseluruhan sumbangan berjumlah RM111,750 itu disempurnakan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan serta isteri, Dato Dayang Morliah Awang Daud di Masjid Jannatul Firdaus, di sini pada Isnin.

Semasa berucap, Datuk Amar Awang Tengah merakamkan ucapan tahniah dan berterima kasih kepada LAKIL, Baitulmal dan Persatuan Melayu Limbang serta semua pihak yang terlibat atas usaha murni berkenaan yang sememangnya memberi manfaat kepada penerima.

"Semoga sumbangan ini dapat membantu meringankan beban mereka yang memerlukan dan memberi inspirasi kepada pihak lain untuk turut sama memberi sokongan kepada mereka yang kurang bernasib baik,"katanya sebelum menyempurnakan penyampaian sumbangan tersebut.

Dalam majlis itu, Ahli-ahli Lembaga dan warga LAKIL turut menerima sumbangan sebanyak RM22,000.

Pada masa sama, sebanyak 24 Badan Bukan Kerajaan (NGO) juga telah menerima geran yang terdiri daripada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), kelab-kelab sukan Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota Kerajaan Malaysia (MAKSAK) Bahagian Limbang, Pejabat Pendidikan Daerah Limbang termasuk beberapa pertubuhan yang terdapat di Daerah Limbang.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pengangkutan merangkap Ahli Parlimen Limbang Datuk Hasbi Habibollah, Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, Residen Bahagian Limbang Unus Tambi, Pegawai Daerah Limbang Sulaiman Engal, Pegawai Agama Islam Bahagian Limbang Ustaz Awang Abdul Rahim Awang Rosley dan Pemanca Sahat Bagol.-Edisi UKAS