KUCHING: Pesta Suntong Bako akan diangkat sebagai salah satu pesta tahunan di dalam kalendar pelancongan Wilayah Sarawak.
Residen Bahagian Kuching, Dayang Joanita Azizah Abang Morshidi berkata, peluang ini digunakan untuk mempromosi Perkampungan Bako yang merupakan kawasan Sarawak Delta Geopark (SDGp) yang kaya dengan khazanah dan warisan alam semulajadi.
“Ini secara tidak langsung dapat meningkatkan industri pelancongan kawasan ini serta memberi nilai tambah kepada aktiviti ekonomi komuniti setempat.
“Secara langsung, membuka peluang untuk
penduduk setempat memperkenalkan budaya dan cara hidup tempatan melalui pelbagai aktiviti dan persembahan sepanjang pesta selain mempamer dan menjual hasil laut yang segar kepada pengunjung yang berkunjung di pesta ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Pesta Suntong Bako di Terminal Penumpang Bako pada Isnin.
Pesta ini melibatkan enam buah kampung yang terletak di kawasan Demak Laut iaitu Kampung Bako Hilir, Kampung Bako Tengah, Kampung Bako Hulu, Kampung Bako Lot, Kampung Bako Hijrah dan Kampung Bako Mesra.
Tambahnya lagi, pihaknya akan mengelola lebih banyak projek dan aktiviti pelancongan DTTG sekitar Daerah Kuching, Bau dan Lundu dalam usaha dan inisiatif membantu Kerajaan Sarawak mempelbagaikan warisan budaya dan produk pelancongan.
“Ia membawa impak yang positif kepada masyarakat melalui agenda pembangunan pelancongan seperti yang termaktub dalam Pelan Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030.
“Selain itu, pesta tersebut turut mendapat sambutan hangat dan menggalakkan oleh komuniti Bako khasnya dan pengunjung setempat,” tambah beliau.
Jawatankuasa Induk Pesta Suntong juga mengelola satu Pertandingan Mencandat Suntong yang terdiri daripada dua kategori iaitu Kategori Suntong Terpanjang dan Kategori Berat Terkumpul dengan seramai 35 peserta yang mengambil bahagian.
Dalam pada itu, beliau berharap agar penganjuran pesta ini dilihat sebagai wadah penyuburan ukhuwah dan mahabbah sesama masyarakat selain meningkatkan aktiviti pelancongan serta memastikan kelestarian alam sekitar serta perlindungan kepada kepelbagaian biodiversiti dan warisan geologi di kawasan Bako. - EDISI UKAS