Program Bertemakan Kebudayaan Tepat Untuk Generasi Muda

Disiarkan pada 03 Jun 2024
Sumber Berita: UKAS


MARUDI: Penganjuran program yang bertemakan kebudayaan amat tepat untuk meningkatkan minat daripada generasi muda.

Pengerusi Serakup Indu Dayak Sarawak (SIDS) Cawangan Marudi Kaunselor Yanti Nyanggau berkata, ini membolehkan masyarakat memelihara budaya terutamanya kaum Dayak di kawasan ini.

Tambahnya, pihak SIDS Unit Rh Ridab Sungai Pasir yang menganjurkan Malam Segulai Sejalai Hari Gawai 2024 menyaksikan pelbagai program diadakan yang bertujuan untuk menampilkan kebudayaan kaum Dayak.

“Pada malam ini kita menyaksikan Pertandingan Kumang dan Kelung Gawai 2024, Pertandingan Kumang dan Keling bagi anak-anak kecil, Persembahan Tarian Kebudayaan, persembahan mainan alat tradisional dan Pertandingan Ibu Anggun.

“Penganjuran program ini penting agar masyrakat memelihara budaya, adat resam dan pakaian tradisional supaya ia tidak hilang ditelan zaman,” katanya ketika berucap dalam majlis tersebut pada Sabtu.

Dalam pada itu, beliau juga mahu penduduk di kawasan Marudi memanfaatkan cuti Gawai untuk merapatkan silaturahim antara kaum dan agama yang lain.

Jelasnya, ia memberi peluang kepada bukan sahaja masyarakat Dayak merayakan Hari Gawai malah semua kaum di negeri ini bagi bersama-sama meraikan dan merasakan kehangatan perayaan tersebut.

Turut hadir Tuai Rumah Ridab Slat serta Pengerusi SIDS Unit Rh Ridab Jaqualine Gau. -EDISI UKAS