Sambutan Maulidur Rasul Wadah Perkukuh Tekad Bina Masyarakat Progresif, Sejahtera

Disiarkan pada 05 Sep 2025
Sumber Berita: UKAS


BALINGIAN: Sambutan Maulidur Rasul 1447H/2025M Peringkat Daerah Mukah disifatkan sebagai wadah memperkukuh tekad membina masyarakat Islam yang progresif, bersatu padu dan sejahtera, selaras dengan tema tahun ini “Ummah Maju Makmur”.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian, Abdul Yakub Arbi, berkata sambutan Maulidur Rasul bukan sekadar memperingati kelahiran Rasulullah SAW, sebaliknya mengajak umat Islam meningkatkan ilmu pengetahuan, memperkukuh ekonomi, menguasai teknologi serta menanam semangat daya saing yang sihat.

“Kemakmuran bukan hanya diukur dari sudut ekonomi, tetapi juga merangkumi kesejahteraan jiwa, kestabilan keluarga, perpaduan masyarakat dan keamanan negara,” katanya semasa merasmikan sambutan di Dewan Masyarakat Balingian pada Jumaat.

Beliau turut menyeru agar masyarakat menjadikan nilai akhlak Rasulullah SAW – amanah, siddiq, tabligh dan fatanah – sebagai asas kehidupan harian, kerana penerapan nilai ini akan memastikan Mukah khususnya, dan Sarawak amnya, terus berkembang sebagai masyarakat sejahtera serta berdaya saing tanpa mengabaikan landasan akhlak Islam.

Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada Pejabat Daerah Mukah serta Jawatankuasa Penganjur kerana berjaya mengatur program sambutan dengan baik.

Kehadiran peserta perarakan dan masyarakat setempat juga disifatkan sebagai penyeri majlis yang penuh bermakna.

Pertandingan sepanduk dan perarakan sempena sambutan tersebut menyaksikan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Mukah muncul juara bagi Kategori Jabatan Kerajaan Persekutuan/Negeri, Badan Berkanun dan Swasta, tempat kedua dimenangi Sarawak Energy Berhad manakala Jabatan Pertanian Bahagian Mukah meraih tempat ketiga.

Bagi Kategori Masjid/Surau/JKKK, juara dimenangi Surau Ibn Khaldun, UiTM Mukah, diikuti JKKK Mateding Kecil di tempat kedua dan JKKK Kampung Masjid Balingian di tempat ketiga.

Sementara itu, dalam Kategori Sekolah, Sekolah Kebangsaan Kuala Balingian muncul juara, diikuti SJKC Chung Hua Balingian di tempat kedua dan Sekolah Kebangsaan Parish Balingian di tempat ketiga.

Hadir sama ialah Pegawai Tadbir mewakili Pegawai Daerah Mukah Nolin Gendang, Setiausaha Politik Kepada Premier Sarawak Fridah Osman Adenan, wakil Pegawai Agama Islam Bahagian Mukah Awang Yushamry Awg Yusuf dan Pemanca Mohamad Jali Kawi.-EDISI UKAS