DALAT: Jajaran Sibu - Dalat dijangka akan merancakkan ekonomi dan pembangunan di tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu DUN iaitu N.44 Jemoreng, N.53 Bawang Assan dan N.56 Dalat.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata perkara itu dimaklumkan beliau kepada Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fadillah Yusof semasa pertemuan mereka baru-baru ini.
“Kita berjumpa dengan Timbalan Perdana Menteri, YB Dato Fadillah dan telah memaklumkan kepada beliau bahawa projek ini memberi manfaat N.56 Dalat, N.44 Jemoreng, Dan kawasan Bawang Assan.
“Jajaran Kut Muara ke Bungan ini diluluskan RMK-12 dalam senarai no.4 di bawah KKDW, 9 kilometer panjangnya telah diluluskan RM130 juta.
“Dari segi statusnya sekarang, penilaian sedang dilakukan dalam bulan Julai, perlantikan konsultan bersama JKR Persekutuan, pada bulan September,” katanya semasa berucap pada Penutupan Kaul Sg. Kut Muara di Dewan Serbaguna Kut Muara Seberang, Dalat pada Ahad.
Menurut beliau, projek tersebut dijangka bermula pada Januari 2026 sebaik ‘alignment’ dan hal-hal berkaitan siap sepenuhnya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat itu menambah, beliau telah memohon kepada kerajaan Sarawak sebuah jalan yang menghubungkan Sibu ke Mukah melalui Sungai Pinang, Bungan Besar, Bungan Kecil, ke Sg. Kut Muara, Kekan Seberang dan Medong Seberang.
Katanya, jambatan juga akan dibina bagi melengkapkan jajaran jalan tersebut.
“Kekan Seberang ke Medong Seberang, juga telah diluluskan oleh kerajaan Sarawak. Panjangnya 14 kilometer (KM) dengan kosnya RM140 juta.
“Siap jalan tersebut, masa yang diambil hanya 1 jam sahaja dari Sibu ke Dalat.
“Dengan terbinanya jalan akan melonjakkan pembangunan Sungai Kut Muara ini, sebab berada di jajaran utama. Kita berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak.”
Beliau menambah, pembangunan di Kut Muara akan dirancakkan menerusi pembinaan tebingan Sungai Fasa 1, Fasa 2 dan Fasa 3 yang turut dilengkapi dengan tandas awam dan tempat letak kereta.
Pelbagai aktiviti dijalankan bagi memeriahkan Pesta Kaul yang berlangsung dari 27 hingga 31 Mei 2024.
Antaranya pertandingan bola jaring riuh sekampung, pertandingan cilik ceria tema magical fantasy, pertandingan karaoke, pertandingan sepak takraw, pertandingan fashion show dan pertandingan ‘besaug’.
Pada majlis sama, Dato Sri Fatimah turut menyampaikan cek Projek Kecil Luar Bandar (MRP) ADUN N56 Dalat Fasa 3 Tahun 2024 berjumlah RM2,800 untuk PIBG SK ST. Jude, Kampung Kekan sempena penyertaan pertandingan tarian sekolah-sekolah Malaysia peringkat Negeri Sarawak tahun 2024. – EDISI UKAS