Persatuan Powerlifting Sarawak Lakar Sejarah Muncul Johan Kejohanan Powerlifting Kebangsaan 

Disiarkan pada 02 Jun 2024
Sumber Berita: UKAS


SUBANG JAYA: Persatuan Powerlifting Sarawak (SPA) melakar sejarah tersendiri apabila muncul juara dalam Kejohanan Powerlifting Kebangsaan SBD X Hansu 2024.

Kejayaan itu sekali gus merekodkan momentum cemerlang bagi sukan itu di rantau ini khususnya membabitkan pasukan Sarawak.

Presiden SPA Nasrul Faiz dalam kenyataannya menzahirkan rasa bangga terhadap pencapaian atlet Sarawak dalam semua kategori.

“Pencapaian yang membanggakan ini bukan sahaja sebagai seorang Presiden SPA tetapi juga sebagai jurulatih, pengadil, atlet dan sukarelawan.

“Perjalanan kejayaan ini disebabkan oleh dedikasi, kerja keras, serta pendekatan strategik untuk pembangunan bakat,” katanya demikian dalam satu kenyataan media baru-baru ini.

Dalam pada itu, Timbalan Presiden SPA Abdul Aziz Abdul Wahed menyifatkan kemenangan bersejarah itu hasil usaha keras yang dilakukan ketika menyelusuri cabaran perjalanan dua tahun lalu.

Tambahnya, kejayaan itu juga didorong oleh usaha bersepadu untuk memupuk bakat muda, khususnya di bahagian Sub Junior dan Juniors.

Naib Presiden SPA Daryl Albright juga sependapat dengan menekankan kebangkitan atlet muda sebagai pertumbuhan positif dalam sukan itu terutamanya kategori ‘Junior’ dan ‘Sub Juniors’.

“Kemenangan Sarawak adalah bukti usaha kolektif para atlet, jurulatih, dan penyokong yang telah mendedikasikan diri mereka untuk kemajuan sukan di rantau ini.

“Ketika Sarawak meraikan pencapaian bersejarah ini, tumpuan kini beralih kepada mengekalkan momentum ini dan terus meningkatkan standard powerlifting di negeri ini,” tegasnya. -EDISI UKAS