BELAGA: Tema “Ummah Maju Makmur” yang diangkat dalam Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Bahagian Kapit 2025 amat bertepatan dengan slogan “Sarawak Maju Makmur”, kata Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belaga, Datuk Liwan Lagang.
Beliau berkata, penghayatan terhadap tema tersebut bukan sahaja mendorong kepada kemajuan negeri, malah memastikan masyarakat terus hidup aman dan harmoni.
“Di Belaga, setiap sambutan sama ada Hari Raya, Krismas atau Tahun Baru Cina diraikan bersama tanpa mengira kaum.
“Inilah keunikan masyarakat Sarawak, khasnya di Belaga,” katanya ketika berucap merasmikan sambutan berkenaan di Dewan Serbaguna Kampung Melayu Belaga, pada Jumaat.
Sementara itu, Pengerusi Pengelola, Penghulu Abu Talip Mohamad Mokhtar berkata, sambutan Maulidur Rasul wajar menjadi wadah untuk memperingati kelahiran Rasulullah SAW, memperbaharui azam serta meneladani akhlak Baginda dalam kehidupan seharian.
“Sambutan ini wajar menjadi titik tolak memperbaharui azam, meningkatkan keimanan dan memperkukuh tekad agar kita menjadi warga serta pemimpin yang mencontohi sunnah Nabi Muhammad SAW dalam setiap tindakan,” ujar beliau.
Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Bahagian Kapit dimulakan dengan perarakan melibatkan 16 kontinjen bermula dari perkarangan Masjid Darul Taqwa, melalui Pekan Belaga dan Jalan Padang Bolasepak sebelum kembali semula ke Jalan Kampung Melayu Belaga menuju ke masjid.
Datuk Liwan bersama isteri, Datin Rosnie Bilang turut serta dalam perarakan tersebut.
Dalam pertandingan sepanduk dan perarakan, Kontinjen USK Belaga dinobatkan sebagai juara dengan hadiah wang tunai RM1,000 berserta sijil.
Kontinjen PDRM IPD Belaga meraih tempat kedua dengan hadiah RM800 dan sijil, manakala tempat ketiga dimenangi SK Abun yang menerima RM500 dan sijil.
Selain itu, kategori Kontinjen Terbaik dimenangi oleh PWS Kampung Melayu Belaga yang menerima RM300 dan sijil.
Kategori Kontinjen Terbaik pula disandang PWS Kampung Melayu Belaga yang menerima hadiah RM300 dan sijil.-EDISI UKAS