SADONG JAYA: Sebanyak RM300,000 telah diluluskan bagi projek naik taraf Dewan Kampung Terasi Ulu di Sadong Jaya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris berkata, projek tersebut di bawah projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) tahun 2023.
Katanya, projek itu akan dilaksanakan pada tahun ini kerana proses cabutan undi untuk projek tersebut akan dilakukan dalam masa terdekat.
“Projek naik taraf dewan ini adalah diperlukan agar masyarakat setempat boleh menjalankan aktiviti kemasyarakatan dalam keadaan selesa dan selamat malah boleh dijadikan tempat penduduk di sini mengadakan kenduri kahwin,” jelasnya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Penangguhan Sukaneka Tahunan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Terasi Ulu di Sadong Jaya pada Ahad.
Dalam pada itu, Ketua Kaum Kampung Terasi Ulu Hamzah Samsawi memaklumkan sebanyak 16 acara sukaneka telah dipertandingkan sepanjang dua hari sukaneka itu diadakan.
Katanya, penganjuran program sukaneka oleh JKKK Kampung Terasi Ulu bukan sahaja mengeratkan hubungan silaturahim antara keluarga malah dapat merapatkan lagi hubungan sesama masyarakat setempat.
Turut hadir ialah Penolong Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Kecil Sadong Jaya Abdullah Sam Yusup dan Ketua PBB Zon 4 Rangawan Rafendy Ariffen. -EDISI UKAS