Pelihara Warisan & Kebudayaan Kaum Bugis

Disiarkan pada 02 Jun 2024
Sumber Berita: UKAS



SADONG JAYA: Warisan dan kebudayaan kaum Bugis di Sarawak harus dipelihara agar tidak dilupakan oleh generasi baharu.

 

Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Ir Aidel Lariwoo memberitahu, pelaksanaan program Wisata Budaya Bugis pada November tahun lepas merupakan salah satu kejayaan kepada Pertubuhan Warisan dan Kebudayaan Bugis.

 

“Dengan pelaksanaan program tersebut bersama pihak daripada Kalimantan Barat sedikit sebanyak dapat membuka mata dan pandangan masyarakat kita amnya dan komuniti Bugis itu sendiri khasnya tentang adat dan budaya leluhur terdahulu,” jelasnya.

 

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Pertubuhan Warisan dan Kebudayaan Bugis Bersama Pemimpin di Sadong Jaya pada Sabtu.

 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sadong Jaya itu mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua ahli kerana bekerja keras dan  dengan giat sekali untuk memperkenalkan warisan dan kebudayaan Bugis kepada masyarakat sehingga dikenali di peringkat nasional. 

 

Menurutnya, keahlian persatuan juga merangkumi Sadong Jaya, Simunjan, Pantong, Sungai Apin, Selangking, Samarahan dan Kuching. 

 

Datuk Ir Aidel juga berharap supaya perhimpunan tersebut juga akan mengeratkan tali silaturahim antara ahli dan juga masyarakat setempat. 

 

Dalam majlis sama, beliau telah menyampaikan sumbangan sebanyak RM50,000 kepada rumah Komuniti Bugis dan sebanyak RM20,000 kepada Pertubuhan Komuniti Warisan dan Kebudayaan Bugis.

 

Turut hadir ialah ADUN Simunjan Awla Dris, Penolong Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Kecil Sadong Jaya Abdullah Sam Yusup dan Pengerusi Persatuan Warisan dan Kebudayaan Bugis, Abdul Syahid Abdul Rahman. -EDISI UKAS