KUCHING: Kerajaan Sarawak bersedia untuk mempertimbangkan cadangan dasar yang wajar, contohnya mewajibkan perancangan pengurusan fasiliti bagi setiap projek pembangunan baharu di Sarawak.
Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Dato Majang Renggi berkata, sejak Sarawak giat melaksanakan agenda pembangunan mampan dan ekonomi hijau, negeri ini telah menyalurkan pelaburan besar dalam projek infrastruktur strategik yang menuntut penyelenggaraan serta pengurusan fasiliti yang cekap.
Katanya, Sarawak mempunyai kelebihan tersendiri yang boleh dimanfaatkan apabila negeri ini sedang menuju era bandar pintar, contohnya bandaraya Kuching dan Miri yang mula menerapkan teknologi digital dalam perkhidmatan bandar.
Sehubungan itu, pembangunan projek bandar pintar yang rancak di Sarawak telah meningkatkan keperluan terhadap perkhidmatan pengurusan fasiliti dengan bantuan teknologi terkini seperti kecerdasan buatan (AI), ‘Internet of Things’ (IoT) dan rangkaian 5G terutamanya untuk memastikan sistem infrastruktur canggih ini diselenggara dengan baik.
“Sebagai negeri yang turut memberi penekanan kepada ekonomi digital, Sarawak menyokong penerapan teknologi-teknologi ini dan saya yakin, dengan kolaborasi bersama sektor swasta dan akademia seperti universiti tempatan yang turut serta hari ini, kita boleh melatih lebih ramai pakar tempatan dalam bidang ‘smart facilities management’.
“Ini bukan sahaja akan membuka peluang pekerjaan berkemahiran tinggi untuk anak Sarawak, malah memastikan aset-aset negeri diurus oleh kepakaran tempatan mengikut acuan kita sendiri,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Hari Libat Urus Industri FM Sarawak 2025, yang diadakan di sebuah hotel, di sini, pada Khamis.
Menyentuh dasar seperti Dasar Peralihan Tenaga Sarawak dan Pelan Hala Tuju Ekonomi Hidrogen negeri ini, Dato Majang menegaskan pengurusan fasiliti mampan akan menjadi salah satu komponen utama dimana bangunan-bangunan di Sarawak sama ada bangunan kerajaan, komersial mahupun kediaman akan diurus secara efisien tenaga, mesra alam dan berdaya tahan.
“Pengurusan fasiliti yang cemerlang juga memastikan tahap keselesaan dan keselamatan pengguna agar sentiasa terpelihara, sekaligus meningkatkan produktiviti dan kesejahteraan,” ujar beliau lagi.
Hadir sama, Menteri Kerja Raya Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Pengerusi CIDB Malaysia Ir Yusof Abdul Wahab, Pengurus Besar Kanan Sektor Pembangunan Kontraktor dan Personel Binaan CIDB Malaysia Sr Ahmad Farrin Mokhtar dan Pengarah CIDB Sarawak Ts Rosmen Ag Hassan. -EDISI UKAS