Dua Atlet SUKMA Sarawak Lakar Nama Di Perlis Open Fight Night

Posted on 02 Jun 2024
Source of News: UKAS




PERLIS: Dua atlet bayangan Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak melakar nama di Kejohanan Perlis Open Fight Night yang diadakan di Dataran Lok 9 Kuala Perlis pada Sabtu lepas.

Atlet yang semakin mencipta nama, Hasbullah Mood menepati ramalan apabila melakar kemenangan ke atas wakil Kelantan, Pakcu Satnarong dengan kiraan mata dalam kategori berat 51kg.

Satu lagi kemenangan dilakar Nur Aiman ke atas peserta Terengganu, Al Tamis juga dengan kiraan mata dalam berat kategori 51kg. 

Dalam pada itu, dua lagi keputusan tidak memihak kepada atlet Sarawak melibatkan pertarungan Maurien Hii dan Nurizman.

Maurien tewas dengan kiraan mata di tangan peserta Perak, Fakhira dalam kategori 54kg.

Sementara Nurizman akur tunduk kepada Epul Gomo dari Kelantan dalam kategori 58kg.

Menurut Ketua Jurulatih Sarawak, Mohd Azan Nadzri, beliau sangat berpuas hati dengan pencapaian anak-anak buahnya dalam kejohanan tersebut.

Katanya, peningkatan ketara dipamerkan para atlet pada kejohanan tersebut berbanding sebelumnya.

“Syabas saya ucapkan kepada semua atlet kita.

“Mereka telah menunjukkan prestasi yang lebih baik berbanding sebelumnya, atlet bertarung dengan lebih baik kali ini,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, Presiden Persatuan Muaythai Negeri Sarawak (PMNS) Haji Jumaat Ibrahim turut memuji persembahan atlet-atlet SUKMA pada kejohanan tersebut terutama yang berjaya memenangi perlawanan mereka.

Katanya, penyertaan pada kejohanan tersebut menjadi medan persiapan atlet-atlet SUKMA Sarawak sebelum menempuh perlawanan sebenar pada Ogos kelak.

Tambahnya, mereka akan melalui beberapa lagi kejohanan pendedahan selepas ini bagi meningkatkan lagi persiapan mereka dari aspek kemahiran selain memantapkan kekuatan mental dan fizikal.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) dan Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) atas sokongan membolehkan PMNS menghantar atlet menyertai pertandingan ini. - EDISI UKAS