Lebih Banyak Syarikat FM Diperlukan Di Sarawak – Dato Sri Alexander

Posted on 04 Sep 2025
Source of News: UKAS


KUCHING: Lebih banyak syarikat dalam bidang pengurusan fasiliti ataupun lebih dikenali sebagai ‘Facilities Management’ (FM) diperlukan di Sarawak.

Menurut Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi, daripada lebih 460 kontraktor FM berdaftar di seluruh Malaysia, hanya 17 sahaja kontraktor FM yang berdaftar di Sarawak.

Dengan jumlah projek strategik yang semakin meningkat, beliau menjelaskan unjuran daripada bidang FM ini mempunyai potensi yang besar untuk diperluaskan.

“Sarawak mempunyai potensi kerana Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Dato Majang Renggi tadi ada memberitahu bahawa unjuran potensi di Sarawak dalam bidang berkenaan memang meluas.

“Sebab itu, kita mengkehendakkan supaya lebih ramai kontraktor atau syarikat yang berpotensi untuk berkecimpung dalam bidang FM ini,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan Hari Libat Urus Industri FM Sarawak 2025, yang diadakan di sebuah hotel, di sini, pada Khamis.

Menurut beliau, syarat-syarat permohonan untuk menjadi syarikat berdaftar dalam bidang FM di Sarawak bukanlah menjadi punca kekurangannya memandangkan syarat yang ditetapkan masih sama dengan negeri lain di Malaysia.

Meskipun dengan hanya 17 kontraktor FM berdaftar di Sarawak, Dato Sri Alexander menyatakan bahawa tiada sebarang masalah yang dihadapi setakat ini memandangkan kesemua kontraktor menjalankan tugas dengan baik.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau mendedahkan industri FM global dijangka bernilai USD1.53 trilion pada tahun ini manakala Malaysia pula diunjurkan mencapai nilai pasaran sekitar RM55 bilion, dengan pertumbuhan berterusan sehingga RM75 bilion menjelang 2030 dengan kadar pertumbuhan tahunansekitar 5.1 peratus.

Hadir sama, Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Dato Majang Renggi, Pengerusi CIDB Malaysia Ir Yusof Abdul Wahab, Pengurus Besar Kanan Sektor Pembangunan Kontraktor dan Personel Binaan CIDB Malaysia Sr Ahmad Farrin Mokhtar dan Pengarah CIDB Sarawak Ts Rosmen Ag Hassan. -EDISI UKAS