KUCHING: Sarawak dan Singapura telah mencapai persetujuan dalam urusan jual beli hidrogen dalam bentuk pepejal menggunakan ‘Metal Hydride Hydrogen Storage Technology’ (MHX) yang dibangunkan oleh Hydrexia Holding Limited bersama SEDC Energy Sdn Bhd (SEDCE).
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, sebuah syarikat di Singapura akan mengimport hidrogen dalam bentuk pepejal yang dikeluarkan oleh Sarawak.
“Sebenarnya sudah ada persetujuan di antara syarikat Sarawak di mana Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) mempunyai kepentingan dan juga sebuah syarikat di Singapura untuk mengimport pepejal hidrogen yang kita keluarkan apa yang disebut sebagai ‘Magnesium Hydride’ yang mempunyai kandungan hidrogen untuk dihantar ke Singapura,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Forum Kelestarian dan Tenaga Boleh Diperbaharui (SAREF 4.0), di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini, pada Rabu.
Bagaimanapun, Datuk Patinggi Abang Zohari tidak mendedahkan jumlah eksport yang akan dibuat buat masa ini.
“Buat masa ini, saya masih belum mengetahuinya namun apa yang lebih penting adalah kita dapat menghasilkan hidrogen dalam bentuk yang berbeza dan dalam hal ini, dalam bentuk pepejal,” jelas beliau lagi.
Terdahulu, Premier Sarawak turut menerima kunjungan hormat daripada Timbalan Menteri (Tenaga) Di Jabatan Perdana Menteri Brunei Darussalam, Dato Seri Paduka Awang Mohamad Azmi Mohd Hanifah. -EDISI UKAS