Kompleks Islam Sri Aman Capai 61 Peratus Kemajuan, Dijangka Beroperasi Tahun Hadapan

Posted on 03 Sep 2025
Source of News: UKAS


SRI AMAN: Kompleks Islam Sri Aman kini mencatatkan kemajuan pembinaan sebanyak 61 peratus dan dijangka siap sepenuhnya untuk beroperasi pada tahun hadapan.

Perkara itu dimaklumkan semasa Lawatan Kerja Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi ke tapak projek berkenaan pada Selasa.

Menurut kontraktor semasa sesi taklimat ringkas kepada Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, struktur utama bangunan pejabat tujuh tingkat kini siap sepenuhnya, manakala kerja-kerja reka bentuk dalaman masih belum dimulakan.

Kompleks berkeluasan 6.37 ekar itu dibangunkan dalam dua fasa yang akan menempatkan tujuh jabatan dan agensi kerajaan negeri termasuk Pejabat Residen Bahagian Sri Aman, Pejabat Daerah Sri Aman, JAIS, Jabatan Hutan Wilayah Sarawak, Jabatan Pengairan dan Saliran (DID), Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) serta Kaunter Servis Sarawak.

Kompleks ini bukan sahaja menjadi pusat pentadbiran moden, malah simbol identiti baharu masyarakat Islam di Sri Aman.

Ia akan memberi manfaat besar kepada rakyat melalui perkhidmatan kerajaan yang lebih efisien dan tersusun.

Rombongan turut dibawa meninjau keseluruhan kawasan projek bagi melihat lebih dekat perkembangan pembinaan yang dijangka menjadi mercu tanda baharu masyarakat Islam di bahagian ini. -EDISI UKAS