KUCHING: Rumah terbuka Gawai bekas Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Alfred Jabu Numpang di Jalan Wan Alwi, di sini diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar pada Sabtu.
Ketibaan beliau bersama isteri, Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi pada jam 1.36 petang disambut mesra oleh Datuk Patinggi Alfred Jabu sekeluarga termasuk isterinya, Tan Sri Empiang Jabu dan anak beliau yang juga Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Gerald Rentap Jabu.
Turut hadir ialah Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg serta isteri, Puan Sri Datuk Amar Juma'ani Tun Tuanku Bujang dan beberapa kenamaan yang lain.
Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi serta isteri bersama Datuk Patinggi Abang Zohari dan kenamaan lain disajikan dengan hidangan istimewa sebelum merakamkan gambar untuk kenang-kenangan.
Ini merupakan kunjungan pertama Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi ke rumah terbuka Gawai Datuk Patinggi Alfred Jabu selepas beliau dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak kelapan.
Peristiwa bersejarah ini menunjukkan pentingnya perpaduan ke arah memajukan Sarawak dengan mengekalkan keharmonian dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negeri ini.-Edisi UKAS