Ahli Majlis Daerah Harus Bekerjasama Dengan Rakyat

Disiarkan pada 03 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


RABU, 3 APRIL 2024

SARIKEI: Ahli Majlis Daerah yang dipilih harus dapat bekerjasama rapat bersama masyarakat di kawasan yang diwakilinya.

Ahli Parlimen Tanjong Manis Ir Yusuf Abd Wahab berkata, pencapaian seseorang Ahli Majlis boleh dinilai dengan kesejahteraan serta keselesaan semua masyarakat di kawasan masing-masing dan menjadi ukuran Petunjuk Prestasi Utama (KPI).

"Ahli majlis dilantik daripada masyarakat dan tujuannya adalah untuk mendampingi serta bekerja rapat dengan masyarakat yang diwakili di kawasannya," ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Pemimpin di Sarikei pada Selasa.

Menurutnya, Ahli Majlis juga memainkan peranan yang penting dalam membantu menyampaikan maklumat serta dasar Kerajaan Sarawak kepada rakyat.

“Ini adalah penting kerana Ahli Majlis harus mengetahui dan memahami tujuan projek atau dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri melalui majlis daerah,” jelasnya.

Turut hadir ialah Timbalan Pengerusi Majlis Daerah Sarikei Missiah Abu Seman. -EDISI UKAS