BAU: Bengkel Keibubapaan Zon Serembu anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) memberi penekanan kepada peranan ibu bapa dalam membentuk generasi muda yang lebih holistik.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serembu, Miro Simuh berkata, bengkel seumpama ini merupakan medium untuk memberi pendedahan dan panduan kepada ibu bapa mengenai tanggungjawab mereka dalam membentuk anak-anak yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi juga seimbang dari segi sahsiah dan emosi.
“Ibu bapa harus memainkan peranan aktif dari peringkat akar umbi. Pendidikan bermula di rumah, dan sokongan berterusan daripada ibu bapa adalah asas kepada perkembangan anak-anak yang holistik dan harmonis,” tegas beliau.
Beliau berkata demikian semasa berucap Bengkel Keibubapaan P.198 Puncak Borneo, di sini, pada Sabtu.
Dalam pada itu, Miro turut berkongsi perkembangan positif berkaitan pendidikan awal kanak-kanak di kawasan Serembu, apabila jumlah Tabika KEMAS di zon tersebut meningkat daripada tujuh kepada sembilan buah, susulan penubuhan dua tabika baharu di Kampung Kopit dan Kampung Bijuray.
“Pertambahan ini menunjukkan permintaan terhadap pendidikan awal kanak-kanak semakin meningkat dan kita menjangkakan lebih ramai anak-anak akan mendaftar di Tabika KEMAS Zon Serembu pada tahun hadapan.
“Sebagai wakil rakyat, saya akan terus menyokong usaha ini dengan memastikan fasiliti yang mencukupi dan selesa disediakan untuk pelajar serta para pendidik,” katanya lagi. -EDISI UKAS