Billy Janjikan Prasarana Sukan Yang Lebih Baik Buat Penduduk Di Zon Stenggang

Posted on 31 Aug 2025
Source of News: UKAS


BAU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang berjanji untuk membangunkan prasarana sukan yang lebih baik kepada penduduk di kawasan Zon Stenggang, di sini.

Menurut beliau, pembangunan prasarana sukan ini amat penting untuk melahirkan masyarakat yang lebih sihat fizikal dan mental, di samping menyemarakkan lagi semangat perpaduan melalui aktiviti sukan.

Susulan itu, beliau mendedahkan untuk membina gelanggang permainan di dewan baharu yang kini masih dalam fasa pembinaannya.

“Apabila dewan itu siap, kita akan membina gelanggang permainan untuk dimanfaatkan oleh semua kampung dalam Zon Stenggang,” katanya semasa berucap dalam Majlis Perasmian Penutupan Sukan Kampung Sepadah Siri 1/2025, di sini, pada Sabtu.

Mengulas mengenai aktiviti berkenaan, Billy turut memberi jaminan bahawa program sebegini akan terus dianjurkan pada tahun-tahun mendatang dengan sokongan peruntukan tambahan.

Antara jenis sukan yang dipertandingkan dalam penganjuran kali pertama Sukan Kampung Sepadah termasuklah larian tiga kilometer (km) dan lima km yang dibahagikan kepada kategori veteran, dewasa dan junior.

Selain itu, turut diadakan acara memanah yang mendapat enyertaan daripada pelbagai lapisan umur, mencerminkan semangat kesukanan dan perpaduan dalam kalangan masyarakat setempat. -EDISI UKAS