Program Damai PEMADAM Sihat Merdeka Semarak Kesedaran Gaya Hidup Sihat Bebas Dadah

Posted on 31 Aug 2025
Source of News: UKAS


SEBUYAU: Program Damai PEMADAM Sihat Merdeka anjuran Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Negeri Sarawak dengan kerjasama PEMADAM Daerah Sebuyau menyemarakkan kesedaran gaya hidup sihat bebas dadah.

Sepanjang program, pelbagai aktiviti menarik telah dianjurkan termasuk senamrobik merdeka, pemeriksaan kesihatan percuma, pameran agensi kerajaan, ceramah kesedaran dadah serta acara cabutan bertuah yang berjaya menarik penyertaan daripada segenap lapisan masyarakat.

Pengerusi PEMADAM Daerah Sebuyau, Ayuradiman Bujang dalam ucapannya berkata, program sebegini merupakan platform terbaik untuk mendekatkan PEMADAM dengan komuniti akar umbi, di samping menggalakkan kerjasama masyarakat dalam usaha membanteras gejala dadah.

“Masalah dadah tidak boleh diletakkan di bahu kerajaan semata-mata. Ia menuntut sokongan penuh daripada ibu bapa, pemimpin komuniti, guru dan golongan belia.

“Melalui program seperti ini, saya berharap setiap peserta menanamkan tekad menjauhi rokok, vape, dadah serta salah laku sosial, dan sebaliknya mengamalkan gaya hidup sihat, aktif bersukan dan berfikiran positif,” ujarnya semasa berucap dalam majlis penutupan program berkenaan, pada Sabtu.

Antara agensi dan organisasi yang terlibat dalam pameran ialah PEMADAM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Tabung Haji, Jabatan Kebajikan, Jabatan Penjara, Juara Travel Agency dan ANGKASA.

Program Damai PEMADAM Sihat Merdeka berjaya mencapai objektifnya dengan memperkukuh kesedaran masyarakat tentang bahaya najis dadah, di samping menyemarakkan semangat kemerdekaan melalui gaya hidup sihat, cergas dan bebas dadah.

Hadir sama, Setiausaha Elsekutif PEMADAM Negeri Sarawak Munawar Ismail. -EDISI UKAS