BINTANGOR: Ratusan warga Bintangor membanjir Tamu Bintangor untuk menyambut kunjungan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, pada Ahad.
Kunjungan itu memberi peluang kepada penduduk setempat untuk berinteraksi secara dekat dengan kepimpinan tertinggi negeri.
Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi bersama isteri meluangkan masa menikmati sarapan pagi bersama komuniti tempatan.
Kehadiran beliau menceriakan suasana apabila penduduk tidak melepaskan peluang untuk menyapa serta merakam kenangan bersama.
Selepas itu, beliau turut meninjau sekitar Tamu Bintangor yang menjadi tumpuan utama masyarakat setempat mendapatkan hasil tani dan barangan segar.
Beliau menyantuni para peniaga dan penjaja di tamu tersebut serta mendengar sendiri pengalaman mereka dalam menggerakkan ekonomi harian.
Hadir sama mengiringi beliau ialah Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Dato Sri Fatimah Abdullah, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Annuar Rapaee, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong Datuk Ding Kuong Hiing. - EDISI UKAS