YSISS Sibu Jadi Tumpuan Baharu Pendidikan Antarabangsa, Bakal Beroperasi September

Posted on 31 Aug 2025
Source of News: UKAS


SIBU: Yayasan Sarawak International Secondary School (YSISS) Sibu bakal menjadi tumpuan baharu di Zon Tengah Sarawak dalam bidang pendidikan apabila dijangka memulakan operasi sepenuhnya pada September ini.

Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, sekolah berkenaan telah siap sepenuhnya sejak awal tahun ini dan sudah menerima semua kelulusan pihak berkuasa tempatan termasuk Jabatan Bomba.

“Sekarang kita hanya menunggu kelulusan terakhir daripada Jabatan Pendidikan. Saya yakin perkara ini tidak akan menjadi masalah kerana hubungan kita dengan pihak berkenaan adalah baik,” katanya ketika melakukan lawatan rasmi ke YSISS Sibu, pada Sabtu.

Menurut beliau, walaupun kampus di Sibu masih menunggu operasi penuh, sesi persekolahan YSISS telah bermula sejak Mac lalu dengan pelajar dari Zon Tengah ditempatkan sementara di YSISS Kuching.

“Jika semuanya berjalan lancar, pelajar akan berpindah ke kampus ini pada bulan September. Mereka sudah mengikuti sesi pembelajaran bersama guru serta pengetua yang dilantik,” jelasnya.

Lawatan itu turut menyaksikan penyerahan replika kunci daripada pihak pelaksana projek kepada Yayasan Sarawak sebagai simbolik siapnya pembinaan sekolah tersebut.

YSISS Sibu menempatkan 25 pelajar setiap kelas dengan sembilan kelas keseluruhan, serta dilengkapi kemudahan moden termasuk makmal sains.

Kurikulumnya berasaskan IGCSE Cambridge, dengan majoriti subjek diajar dalam Bahasa Inggeris manakala Bahasa Melayu dan Sejarah disampaikan dalam Bahasa Melayu.

Dengan penubuhan YSISS Sibu, Yayasan Sarawak kini mempunyai tiga sekolah antarabangsa selepas Kuching dan Miri, sekali gus membuka lebih banyak peluang kepada pelajar tempatan untuk menikmati pendidikan bertaraf global.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dr. Annuar Rapaee, Setiausaha Tetap kementerian berkenaan, Adana Jed serta Pengarah Yayasan Sarawak, Mohamad Junaidi Mohidin.-EDISI UKAS