BETONG: Acara Criterium sempena Layar Cycling Carnival (LCC) Edisi Ke-7 2025 yang berlangsung di RTC Betong pada Sabtu menyaksikan Muhammad Haizam Mohd Shabri dari TSG Cycling Academy muncul juara kategori Terbuka Lelaki.
Bagi kategori Terbuka Wanita, kemenangan menjadi milik Ju Pha Som Net (G-PDRM Cycling Team), manakala Laurel Lauridsen Adrian (Ghost Speed Racing Team) mengungguli kategori Tertutup Sarawak.
Perlumbaan yang bermula dari jam 9 pagi hingga 5 petang itu menghimpunkan ratusan pelumba dari seluruh negeri dengan persaingan sengit dalam 10 kategori termasuk Belia, Remaja, Master A & B, Super Master, Tertutup Betong serta Belia Wanita.
Majlis pelepasan disempurnakan oleh Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Gerald Rentap Jabu, manakala penyampaian hadiah disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak Lamat Nyalau.
Dalam ucapannya, Lamat menegaskan acara Criterium ini menjadi platform penting mencungkil bakat baharu dalam kalangan belia Sarawak ke arah melahirkan atlet berbasikal kebangsaan bertaraf dunia.
Selain perlumbaan, karnival turut dimeriahkan dengan 34 gerai jualan, pameran, sukan rakyat dan acara hiburan malam.
Sementara itu, acara tumpuan utama iaitu Perlumbaan Lebuhraya berlangsung hari ini, diikuti majlis penangguhan rasmi dan penyampaian hadiah keseluruhan karnival. — EDISI UKAS