Kejohanan Muaythai Berpasukan & Belia/Remaja ASEAN Pertama 2025: 9 Wakil Sarawak Lolos Ke Final

Posted on 31 Aug 2025
Source of News: UKAS


SELANGOR: Seramai sembilan atlet muaythai Sarawak telah berjaya melayakkan diri ke peringkat akhir Kejohanan Muaythai Berpasukan & Belia/Remaja ASEAN Pertama 2025 yang berlangsung di Paradigm Mall, Petaling Jaya semalam.

Kejohanan anjuran Persatuan Muaythai Malaysia ini diadakan dari 28 hingga 31 Ogos.

Mereka yang lolos ke final ialah Fatiha Hanum Abdul Hasrul, Hani Anissa Ismail, Noor Qasliya Mohamad Hardi, Muhammad Nur Aiman Kamaruddin, Mohammad Nurhizbur Asyraf Mohd Nazri, Muhammad Syarul Fareez, Rizz Ezzandy Iswandy, Razie Rafizzie dan Dylan Casey Daniel.

Kontinjen Sarawak di bawah bimbingan jurulatih Ajan Putra, Zulkeplie, Roslan Johani dan Goday.

“Tahniah kepada sembilan anak muay kita selepas berjaya mara ke final dan pastinya naik ke podium.

“Kejohanan ini menjadi pendedahan berguna kepada mereka semua untuk terus mengasah kemahiran.

“Pihak persatuan akan sentiasa berusaha untuk menghantar anak-anak Muay Sarawak ke kejohanan seperti ini secara kerap selepas ini sebagai persediaan kita menghadapi SUKMA 2026 di Selangor kelak,” ulas Presiden Persatuan Muaythai Negeri Sarawak (PMNS), Jumaat Ibrahim.

Kejohanan ini, yang mematuhi peraturan Persekutuan Antarabangsa Persatuan Muaythai (IFMA), bukan sahaja menampilkan perlawanan (combat) tetapi juga demonstrasi budaya seperti Wai Kru dan Mai Muay.

Penganjurannya bertujuan memastikan sukan muay dimasukkan sebagai salah satu sukan bagi Sukan Sea 2027 di Malaysia dan lebih kategori dapat dipertandingkan.

Untuk rekod, pada Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur, hanya lima kategori lelaki dipertandingkan.

Selain itu, kejohanan ini bagi memberi peluang kepada atlet-atlet remaja mendapat markah koko antarabangsa Muaythai Malaysia serta membuka kategori remaja untuk kejohanan ini.

Ia turut memberi peluang kepada atlet mendapatkan medal Asean meskipun kejohanannya antara negeri-negeri.

Dalam pada itu, IFMA juga akan menganjurkan kejohanan World Cup berpasukan tahun depan dengan format 7 x 7 atlet berpasukan sebagai pentas ujian Kejohanan Asean ini. - EDISI UKAS