Sambutan Hari Kebangsaan 2025: Pertandingan Mewarna Tarik Penyertaan 479 Peserta di Bintagor

Posted on 30 Aug 2025
Source of News: UKAS


BINTANGOR: Pertandingan Mewarna Sempena Sambutan Hari Kebangsaan Tahun 2025 anjuran Pergerakan Wanita Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Bintangor mendapat sambutan meriah dengan penyertaan seramai 479 orang pada tahun ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong merangkap Pengerusi SUPP Cawangan Bintangor, Datuk Ding Kuong Hiing menzahirkan penghargaan dan tahniah kepada Pergerakan Wanita Parti SUPP Cawangan Bintangor kerana berjaya menganjurkan pertandingan tersebut selama tiga tahun berturut-turut, sekali gus menjadikannya sebagai program tahunan di Daerah Meradong.

“Pertandingan ini bukan sahaja memberi peluang kepada kanak-kanak untuk menonjolkan kreativiti, malah turut melibatkan ibu bapa yang hadir memberi sokongan kepada anak-anak mereka.

“Ini secara tidak langsung dapat merapatkan hubungan kekeluargaan,” kata beliau ketika merasmikan program tersebut di Dewan Masyarakat Bintangor, pada Sabtu.

Tambah beliau, aktiviti mewarna turut memberi banyak manfaat seperti melatih daya tumpuan, meningkatkan kemahiran motor halus, merangsang kreativiti serta membantu kanak-kanak mengenal warna dan meluahkan emosi dengan lebih baik.

Sehubungan itu, beliau berharap agar semua peserta menjadikan pertandingan ini sebagai satu pengalaman bermakna walaupun tidak meraih kemenangan.

Turut hadir Pegawai Daerah Meradong, Thomas Geoffrey Kendawang, Setiausaha Majlis Daerah Meradong dan Julau (MDMJ), Lau Chi Sing, Timbalan Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah Meradong, Mahathir Mahdini serta Ketua Pergerakan Wanita Parti SUPP Cawangan Bintangor, Chieng Ming Kiong.-EDISI UKAS