KUCHING: Pra Kejohanan Boling Tenpin Antarabangsa Terbuka Sarawak 2025 menutup tirai dengan jayanya setelah berlangsung di Megalanes Sarawak, Batu Kawa pada Sabtu.
Sebanyak tujuh kategori dipertandingkan menerusi Cabaran Perseorangan Campuran SSC-ABAS PP yang melibatkan pengajar serta pelajar sekolah rendah dan menengah, dengan sub-divisyen khusus bagi kategori lelaki dan wanita.
Majlis penutupan serta penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Negara, Senator Dato Ahmad Ibrahim.
Bagi kategori sub-divisyen sekolah menengah, gelaran juara lelaki diraih oleh pelajar SMK Sungai Maong, Edward Ting Xiang Rui, manakala juara wanita disandang Claudia Scarlet Chillter dari SMK Green Road.
Bagi peringkat sekolah rendah, Aldemar Aldrich Gemasthy dari SJK Chung Hua Bau muncul juara lelaki, sementara Syahieza Damia Syarul Nizam menjuarai kategori wanita.
Dalam acara utama Cabaran Perseorangan Campuran SSC-ABAS PP, Edward Ting Xiang Rui sekali lagi mengungguli kategori sekolah menengah, manakala Syahieza Damia Syarul Nizam turut mengulangi kecemerlangannya dalam kategori sekolah rendah.
Bagi kategori tenaga pengajar, gelaran dimenangi oleh Zulkiflee Sibli dari SK Semerah Padi.
Dalam ucapannya, Senator Dato Ahmad menzahirkan penghargaan kepada Persatuan Boling Amatur Sarawak (ABAS), Perbadanan Sukan Sarawak dan Majlis Sukan Sarawak atas usaha berterusan menganjurkan program pembangunan akar umbi seperti Youth Enrichment Program dan Pusat Pembangunan.
Menurut beliau, inisiatif itu bukan sahaja memberi peluang kepada pelajar menyerlahkan bakat, malah memperkukuh keyakinan diri dan semangat kesukanan.
“Kepada para atlet muda, sama ada anda memenangi pingat hari ini ataupun tidak, anda semua adalah juara.
“Dengan menyertai, dengan belajar, dan dengan menunjukkan semangat kesukanan, anda telah pun mengambil langkah pertama menuju kejayaan,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada guru, jurulatih dan ibu bapa yang menjadi tulang belakang kejayaan penganjuran serta sentiasa menyokong para atlet muda. — EDISI UKAS